HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 April 2018

Nelayan dakwa terjejas akibat aktiviti korek pasir

Syamsiah Sahat, Bernama 

   
Nelayan di Jeti Parit Jawa di Muar mengeluh apabila hasil tangkapan ikan mereka merosot sehingga 60 peratus sejak dua tahun lalu akibat aktiviti pengorekan pasir di kawasan berkenaan.

Azman Abdul Rahman yang telah 40 tahun menjadi nelayan di kawasan itu berkata kehadiran kapal mengorek pasir yang semakin banyak merosakkan tempat pembiakan ikan menyebabkan hasil mereka semakin berkurangan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kadang-kala sehingga 20 kapal korek datang dalam satu masa menyebabkan peralatan menangkap ikan seperti kelong dan bubu kami rosak,” kata nelayan berusia 60 tahun itu ketika ditemui Bernama.

Rakannya Teng Choon Seng , 48, pula berkata tidak dapat dipastikan dari mana kapal-kapal tersebut datang tetapi aktiviti kapal tersebut telah menjejaskan pendapatan mereka.

“Ada antara spesis ikan yang tidak lagi kami dapat seperti ikan timah kerana keadaan air laut yang menjadi kotor dan membuatkan ikan tidak lagi membiak di kawasan persisir pantai tempat kami mencari rezeki,” katanya.

Teng yang menangkap ikan menggunakan kelong menjadi nelayan sejak 20 tahun lalu serta memiliki tiga bot yang dikongsi bersama dua lagi adiknya.

Sementara itu, nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahwee berkata dia pernah kerugian sebanyak RM30,000 apabila bubunya rosak akibat aktiviti kapal berkenaan.

“Saya telah utarakan perkara ini kepada pihak berkenaan bersama bukti, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas kami terima,” katanya sambil menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti kapal korek tersebut.

Menurut Azman, terdapat kira-kira 600 nelayan di kawasan Pantai Leka berkenaan dan rata-rata mereka mempunyai masalah yang sama.

Katanya lagi, terdapat juga masalah pemberian insetif nelayan sebanyak RM300 sebulan yang akan ditahan setiap kali mereka memperbaharui lesen nelayan.

"Lesen perlu diperbaharui setahun sekali, tetapi apabila kami perbaharui lesen, elaun pada bulan tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun dan tidak diganti semula untuk bulan berikutnya, sistem ini perlu dibaiki kerena dalam kedaan sekarang elaun tersebut amat kami perlukan,” katanya.

Beliau juga mahu pihak terbabit memantau harga peralatan menangkap ikan yang semakin lama semakin tinggi dan membebankan nelayan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Ismail Mohamed ketika dihubungi berkata pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memantau aktiviti pengorekan pasir ini dan terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi aktiviti ini.

Pihak pengusaha pasir katanya juga telah memberikan saguhati kepada nelayan yang terjejas dan pihak jabatan terus memantau tahap kacau ganggu aktiviti ini.

“Bagi sebahagian kawasan yang dikorek, ia memberi kesan yang positif seperti mendalamkan kawasan tangkapan dan memudahkan laluan bot nelayan,” katanya.

Beliau menambah bagi nelayan yang peralatan mereka terjejas akibat dari aktiviti itu, diminta melaporkan kepada LKIM untuk tindakan lanjut.- Bernama

Tiada ulasan: