Tirai pembukaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya tinggal 10 hari sahaja lagi, namun kem Pakatan Harapan (PH) bergelora dengan perletakan jawatan Pengarah Biro Pilihan Raya PAN Selangor, Jaafar Samsuddin.
Memetik laporan portal rasmi PAN, Malaysiadateline, Jaafar yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Jaafar telah menyerahkan surat rasmi perletakan jawatan ke ibu pejabat PAN di Shah Alam pada Selasa pagi.
Beliau berkata, keputusan untuk meletakkan semua jawatan di dalam PAN dan tidak lagi sebagai ahli PAN hari ini, ekoran beliau merasakan suaranya tidak didengari dan usahanya tidak dihargai dikalangan pimpinan negeri dan diperingkat nasional parti.
“Saya merasakan adanya saya dalam parti tidak lagi mendatangkan kebaikan untuk parti. Suara saya tidak lagi didengari pimpinan.
“Saya mendengar banyak perkara yang menceritakan keburukan saya, seolah-olah apa yang saya lakukan tidak bagus.
“Saya berasa malu sebagai seorang yang memegang jawatan di negeri diperlakukan sedemikian,” dakwanya yang berkata keputusan diambil itu atas kerelaan tanpa paksaan mana-mana pihak.
Ditanya sama ada beliau kecewa namanya tidak dicalonkan di Kota Raja pada pilihan raya umum akan datang, Jaafar, 62, menafikannya.
“Nama saya diletakkan di DUN Meru dan Parlimen Kota Raja tetapi ada pihak yang tidak senang dengan saya. Sejujurnya saya tidak kisah siapapun yang terpilih.
“Cuma saya rasa seolah-olah apa yang saya lakukan selama ini untuk parti tidak dihargai dikalangan pimpinan negeri.
“Saya sudah lama berfikir (untuk buat keputusan) dengan harapan memberi ruang kepada kepimpinan menghargai saya tetapi sebaliknya ia tidak berlaku, lebih baik saya mengundur diri.
‘Buat masa ini saya memikirkan lebih baik saya bersara daripada politik dan berehat,” ujarnya yang akan memberikan lebih tumpuan kepada kerja dakwah dan bersama keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan