TELUK INTAN: Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke sini membawa berita
gembira apabila mengumumkan pembinaan sebuah Pusat Transformasi Bandar
(UTC) yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 500 unit kediaman Projek
Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibina dalam dua fasa, selain
meluluskan pemasangan lampu limpah di stadium mini Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Seri Kandi.
Najib berkata, kelulusan ketiga-tiga projek itu dibuat berdasarkan
permintaan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah
Siew Keong yang juga penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan yang mahu
menunaikan janji terhadap rakyat Teluk Intan.
Beliau berkata, UTC adalah inisiatif kerajaan yang sangat popular
dengan hampir 70 juta rakyat sudah menggunakan perkhidmatannya di
seluruh negara.
"Tak ada mana-mana negara lain (ada UTC), cerah (bagus) UTC ini, bukan
macam terowong di Pulau Pinang, tak nampak hujung terowong tetapi UTC
memberi manfaat kepada rakyat, jadi saya nak umumkan UTC ini InsyaAllah
akan dibuat di Teluk Intan.
"PPR kita akan buat dua fasa, fasa pertama 250 unit dan fasa kedua 250
unit lagi, jadi 500 unit semuanya. Ini saya serah kepada kerajaan
negeri, ahli parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk fikir
di mana tapak yang sesuai," katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapannya ketika merasmikan majlis
pecah tanah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Teluk Intan atau
PR1MA@Teluk Intan di Batu 4, Jalan Changkat Jong, di sini hari ini.
Projek Kerajaan Persekutuan yang dibina Perbadanan PR1MA Malaysia itu
membabitkan pembinaan 957 unit rumah PR1MA yang secara keseluruhannya
membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM232 juta.
Rumah berkenaan berharga antara RM180,000 dan RM250,000 itu adalah
untuk golongan berpendapatan sederhana (M40), antara beberapa inisiatif
diumumkan Perdana Menteri selepas BN menang pada Pilihan Raya Kecil
(PRK) Teluk Intan pada tahun 2014 dan pelaksanaannya juga adalah sebagai
memenuhi komitmen Kerajaan Perak pada PRK berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir;
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga penyandang kerusi
Parlimen Teluk Intan dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong;
Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr Alies Anor Abdul dan Ketua Pegawai
Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Perdana Menteri berkata, pengundi khususnya di Parlimen Teluk Intan
tidak perlu terpedaya dengan janji pembangkang untuk memberi kuasa dan
melantik Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sebagai menteri jika menang di
kerusi itu dan pembangkang menang di peringkat pusat pada Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya untuk membawa pembangunan di kawasan
berkenaan.
"Tak payah kita tunggu lagi orang (Kor Ming) nak jadi menteri sebab
kita dah ada menteri (Siew Keong), tak payah orang lain nak ada kuasa
sebab kita dah ada kuasa, tak payah kena tipu.
"Di Pulau Pinang banyak dah kena tipu, dulu janji tak ada pembangunan
lereng bukit tapi dalam 10 tahun ini jauh lebih banyak daripada zaman
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon jadi Ketua Menteri, jadi dia jaga alam sekitar
Pulau Pinang lebih hebat daripada kerajaan DAP. Juga janji (caj) air tak
naik, (tetapi) naik empat di Pulau Pinang.
"Di Selangor apa? Pemimpin dapat undi rakyat dapat baldi, itulah
kerajaan pembangkang, jadi janganlah kita kena tipu, orang macam ni tak
boleh pakai.
"Hati dia tak ada di sini, hati di tempat lain, di Taiping dia tak
berkhidmat, dia lari ke Teluk Intan, (tetapi) Teluk Intan ada anak jati
di sini, sokong dia (Siew Keong) dan saya akan pastikan projek-projek
ini akan kita laksanakan dan undilah BN pada 9 Mei nanti...kalau boleh
masa depan Teluk Intan tetap maju," katanya.
Sementara itu, Siew Keong berkata dalam tempoh tiga tahun rakyat
golongan B40 (berpendapatan rendah) di kawasan Parlimen Teluk Intan
menerima kunci membabitkan 150 unit fasa pertama PPR.
Katanya, bagi kelulusan UTC yang diumumkan Perdana Menteri itu, perkara
itu adalah inisiatif kerajaan BN yang mahu memudahkan rakyat berikutan
segala urusan ditempatkan dalam satu bangunan.
"Kita akan cari tapak yang bersesuaian untuk pembinaan UTC bagi warga Teluk Intan supaya mendapat manfaat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan