KUALA LUMPUR: Rakyat disaran menentukan masa depan negara mengikut
fakta dan bukannya berita palsu, penipuan, propaganda, janji palsu dan
ilusi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, 8sebagai sebuah
kerajaan yang melindungi rakyatnya daripada bencana penyebaran berita
palsu, pihaknya meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi
menangani masalah berkenaan.
"Ia (berita palsu) boleh menggugat keselamatan negara dan kita sudah
melihat banyak contoh di seluruh dunia di mana, (tindakan) yang
bertentangan dengan dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),
berita palsu digunakan oleh kuasa luar sebagai alat campur tangan.
"Peliknya, terdapat sesetengah pemimpin pembangkang yang kini
mengalu-alukan (campur tangan ini) tetapi sebagai rakyat Malaysia yang
patriotik, saya boleh katakan kerajaan pimpinan saya tidak akan
membenarkan campur tangan asing.
"Kami tidak akan berkompromi kedaulatan negara ini dengan membenarkan
negara atau individu lain memberitahu kami apa yang perlu dilakukan,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum Putrajaya
2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 di sini,
sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam pada itu, Najib berkata kesederhanaan atau wasatiyyah mengikut
konsep al-Quran, adalah pertahanan penting bagi menentang ideologi
ekstrem, radikalisasi dan keganasan.
Katanya, kerana itu beliau mencadangkan idea Gerakan Kesederhanaan
Global sewaktu berucap pada sesi ke-65 Perhimpunan Agong Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September 2010.
"Di Malaysia, ia berkembang menjadi Yayasan Gerakan Kesederhanaan
Global (GMMF), di mana ia menjadi pusat utama pengumpulan dan penyebaran
maklumat bagi mempromosikan kesederhanaan serta melawan ekstremisme dan
keganasan.
"Pujian harus diberikan kepada GMMF atas kerja yang dilakukan yang mana
ia menyumbang kepada usaha Malaysia untuk memastikan gerakan
kesederhanaan ini diiktiraf di seluruh dunia.
"Untuk pengiktirafan peringkat antarabangsa, saya dengan bangganya
ingin berkata pada 9 Disember lalu, resolusi Malaysia berkenaan
kesederhanaan diguna pakai dalam Perhimpunan Agung PBB sesi ke-72,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan