Dr Mahathir berkata tidak mudah meminta setiap parti ketepikan lambang masing-masing.
Di hadapan 4,000 hadirin di ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Pasir Gudang malam tadi, calon perdana menteri itu berkata mereka malam itu sudah melakukan sesuatu yang tak mungkin dilakukan dahulu.
“Bukan mudah nak suruh tiap-tiap parti menggugurkan lambang mereka. DAP guna simbol roket selama hampir 60 tahun, yang lain juga sayang pada lambang masing-masing, tetapi kerana kita ingin bersatu padu maka kita setuju akan guna hanya 1 lambang.
“Sampaikan maklumat ini kepada semua rakyat, dalam pilihan raya ini 4 parti yang tidak dibenar bergabung akan berjuang dan menggunakan lambang sama,” katanya.
Hadir sama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Sebaik sahaja ucapan, Dr Mahathir bersama pimpinan utama keempat parti mengibarkan bendera PKR, lambang yang menjadi pilihan untuk pilihan raya umum ke-14.
Mulai hari penamaan, calon-calon PPBM, Amanah dan DAP, serta Dr Mahathir sendiri, akan bertanding bawah lambang yang dikaitkan dengan gerakan reformasi.
Ini merupakan kali pertama semua parti pembangkang utama mengetengahkan lambang bersama di Semenanjung Malaysia.
Dr Mahathir berkata Barisan Nasional bawah Datuk Seri Najib Razak “takut kalau parti-parti lawan menggunakan 1 lambang.”
“Mereka tak boleh halang kita. Walaupun kita tak boleh guna lambang PH, masih kita akan guna 1 lambang untuk semua parti yang lawan Najib.”
Pertarungan di Semenanjung Malaysia dijangka sengit dengan pertembungan 3 penjuru di banyak kawasan melibatkan PH, BN dan PAS.
Sementara itu, Mohamad Sabu sempat mengumumkan beberapa calon dari partinya di Johor.
Mereka ialah Salahudin Ayub untuk Parlimen Pulai, Abrari Ramli untuk DUN Pasir Raja, Ahmad Kamar Nor untuk DUN Penawar, Zukifli Ahmad untuk DUN Kota Iskandar dan Suhaizan Kayat untuk DUN Kukup.
Salahuddin dijangka menentang Datuk Nur Jazlan Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan