HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 April 2018

SPR nafi tak telus jalankan pilihan raya

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata urusan mengendalikan pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), dilakukan secara bersama antara SPR, rakyat, calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
 
Beliau berkata, jumlah kakitangan SPR di seluruh negara hanya 750 orang yang kebanyakannya bertugas di Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi menguruskan hal berkaitan pentadbiran dan operasi.
 
"Selain itu, peranan kakitangan tetap SPR juga lebih menjurus dalam memberi latihan dan panduan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta semua petugas lain supaya mereka menjalankan amanah diberikan dengan mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan.
 
"Bagi mengendalikan urusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, SPR sudah melantik lebih 250,000 petugas pilihan raya membabitkan orang awam yang diberi kepercayaan mengendalikan urusan PRU-14.
 
"Mereka yang dilantik ini berperanan sebagai pelaksana dalam semua urusan perjalanan pilihan raya khususnya urusan pengundian, pengiraan undi, pengeluaran, pembukaan sampul, pengiraan dan penyimpanan kertas undi pos.
 
"Ia sekali gus menjadikan mereka sebagai barisan hadapan yang bertugas di Pusat Penamaan Calon, Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU), Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran)," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
 
Mohd Hashim berkata, kebanyakan orang awam yang dilantik Petugas Pilihan Raya membabitkan penjawat awam, guru, pekerja swasta, masyarakat setempat, individu perseorangan dan mahasiswa.
 
"Mereka yang dipilih ini mempunyai pengalaman dan latar belakang politik yang pelbagai, namun ketika menjalankan tanggungjawab sebagai petugas pilihan raya, mereka mesti bersikap bebas dan berkecuali walaupun menyokong calon atau parti politik tertentu.
 
"Selain orang awam, PRU-14 ini turut dibantu lebih 200,000 petugas dalam kalangan pihak calon atau wakil parti politik bertanding pada pilihan raya berkenaan.
 
"Tugas mereka sebagai pemerhati atau pemantau perjalanan ketika proses pilihan raya seperti semakan daftar pemilih di barung semakan, proses pengundian dan pengiraan di tempat mengundi, pengeluaran kertas undi pos, pembukaan sampul undi pos, penyimpanan peti undi pos serta pengiraan undi pos.
 
"Tuduhan dan persepsi mengatakan SPR melakukan penipuan ketika pilihan raya adalah tidak berasas dan tidak wajar, malah ia dianggap satu penghinaan kepada petugas pilihan raya membabitkan rakyat, pengundi dan petugas calon atau parti politik itu sendiri," katanya.
 
Mohd Hashim berkata, jika ada pihak masih menuduh SPR melakukan penipuan ketika pilihan raya, ini bermakna mereka sebenarnya menuduh rakyat Malaysia dan petugas parti politik itu sendiri yang berada di barisan hadapan ketika PRU atau PRK diadakan khususnya dalam proses pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi.
 
"Bagi tujuan memperlihatkan ketelusan proses pilihan raya yang dijalankan, SPR turut menjemput Badan Pengurusan Pilihan Raya sebagai pemerhati antarabangsa dari 13 negara termasuk anggota ASEAN dan Komanwel serta Asia, selain Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) iaitu sebuah pusat kajian dan sokongan kepada Badan Pengurusan Pilihan Raya berpangkalan di Cambridge, United Kingdom.
 
"SPR juga turut melantik pemerhati tempatan dari badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil universiti bagi memerhati perjalanan proses PRU-14.
 
"Sebagai badan bebas dan berkecuali melaksanakan pilihan raya dengan telus dan adil, SPR berharap rakyat Malaysia memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya terhadap SPR dan semua petugas pilihan raya menjalankan tanggungjawab menegakkan amalan demokrasi di negara ini," katanya.
  


Tiada ulasan: