Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berat hati untuk
melepaskan amanah meneraju negeri itu walaupun Sultan Selangor memberi
perkenan untuk beliau menyahut seruan berbakti kepada negara sebagai
menteri ekonomi yang baharu.
KEADILAN DAILY
Kata anggota parlimen Gombak itu, walaupun bertugas sebagai menteri persekutuan, Selangor akan sentiasa dekat di hatinya.“Amat berat untuk saya meninggalkan rakyat Selangor.
“Namun, saya insaf bahawa saya juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Ini adalah panggilan tanah air. Justeru, saya mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Azmin berkata beliau menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin atas perkenan bagina untuknya memainkan peranan yang lebih besar di peringkat persekutuan.
Kata Azmin beliau menerima amanah dan tanggungjawab berkenaan dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara dari krisis akibat kecelaruan dasar-dasar pentadbiran sebelum ini.
“Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangunkan sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan, serta meningkatkan pelaburan langsung luar negara (FDI).
“Saya memberi jaminan kepada pelabur domestik dan pelabur asing bahawa kerajaan baru ini adalah business friendly dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya lagi.
Azmin mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengumumkan Sultan Sharafuddin memberi perkenan untuk Azmin menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan