KEADILAN DAILY
Kerajaan akan meneliti semula projek-projek mega yang telah diluluskan rejim Umno BN dahulu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beberapa projek yang telah diberi Surat Setuju Terima (SST) secara tergesa-gesa juga akan disemak.
“Kita akan menyemak… sama ada ia akan bagi manfaat atau tidak, kerana kita juga kena lihat implikasi undang-undang sekiranya projek itu dihentikan,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.
“Kami mahu melihat semua projek mega yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, mengkaji semula , dan kami juga mahu merunding semula, tetapi kalau ia belum dilaksanakan, kita akan tumpu hanya pada projek yang akan berikan kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Mohamed Azmin berkata penelitian itu juga termasuk projek Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
“Kita pelu mengkaji apa yang berlaku dan proses yang dilakukan dalam pentadbiran lama, kami mahu memastikan keseluruhan proses bagi memastikan ia dilakukan secara telus dan terbuka… biar saya teliti bersama pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
“Tiada lagi rundingan terus dan terhad, ia mesti dilakukan secara terbuka dan telus dalam semua proses perolehan,” katanya.
Terdahulu, Azmin mendengar taklimat daripada pegawai pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri selepas melapor diri pada 7.45 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan