Selebriti kontroversi yang juga calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Azwan Ali, kini memasang angan-angan untuk menjadi senator.
Bagi pengacara berusia 55 tahun itu, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, pelakon yang juga ahli politik pertama di Malaysia itu adalah idolanya.
“Saya teringin nak jadi seperti arwah Tan Sri Datuk Jins Samsudin, menjadi senator. Kalau tengok dia satu-satunya artis yang terpilih menjadi senator, saya tidak tahu proses dia macam mana tapi saya ada impian untuk sampai ke tahap itu,” katanya.
Jins Shamsuddin dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada 13 Okt 2004 dan menjadi senator selama dua penggal sehingga 11 Feb 2011.
Mengenai peluangnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pemilik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya itu berkata beliau tidaklah terlalu memikirkan soal kemenangannya tetapi yakin segala-galanya akan ditentukan Allah nanti.
“Ini semua kerja Allah... apatah lagi orang kecoh kalau saya hilang wang pertaruhan, why not?
(kenapa tidak?). Saya tidak menggunakan duit ibu ayah saya, it is my own money, (itu duit saya sendiri) ” kata adik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.
Azwan akan bertanding menentang abangnya, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR dan tiga calon lain dalam pertandingan lima penjuru kerusi DUN Bukit Antarabangsa.
Tiga calon lain itu ialah Ketua Wanita Umno Ampang Salwa Yunus (Barisan Nasional-Umno), Ketua Penerangan PAS Ampang Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Pada PRU13, Mohamed Azmin memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan 16,502 undi untuk menewaskan calon BN Mohamad Nazim Ibrahim yang memperoleh 12,458 undi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan