KUALA TERENGGANU:
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak, semua
pihak berganding bahu bagi membina dan membangunkan negeri Terengganu.
Justeru, katanya peranan pembuat dasar,
pelaksana strategi, pimpinan pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh
jentera kerajaan serta rakyat adalah sama penting.
“Bekerjalah bersama kami dan bukan hanya
bekerja untuk kami. Matlamat kita adalah besar, membawa agenda Pelan
Induk Terengganu Sejahtera.
“Ucapan ringkas ini, saya berpesan pada
diri saya dan semua yang hadir bahawa kitalah sebenarnya yang menggalas
tanggungjawab untuk membawa negeri Terengganu ke era baharu, menuju
kenyataan iaitu ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’.
“Prinsip dan dasarnya menjadikan
al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai
asas membinapelan induk negeri ke arah yang cemerlang dan menjadi
negeri contoh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan
sulungnya selepas mula masuk ke pejabat Menteri Besar dan solat hajat
kesyukuran di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr Ahmad Samsuri turut menghuraikan matlamat kerajaan PAS Terengganu, mahu negeri ini menjadi maju, berkat dan sejahtera.
“Kita mempunyai sasaran untuk menjadikan
negeri Terengganu yang kita cintai ini sebagai pertama, Terengganu
koridor pelancongan Islam antarabangsa. Kedua, Hub Pendidikan Islam
antarabangsa. Ketiga, Hub industri produk dan makanan laut serantau.
“Keempat, hub industri batik dunia.
Kelima, hab industri pembangunan dan pembaik-pulih kapal negara. Keenam,
Hub pembangunan sumber manusia bagi industri minyak dan gas.
“Ketujuh, Hub industri galian negara.
Kelapan, Hub industri pembekal air. Kesembilan, pembangunan bersepadu
dengan jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lain.
“Ke-10, pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi Rantaian Nilai Lengkap (complete value chains),” jelasnya.
Presiden PAS yang juga mantan Menteri
Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengimamkan
solat hajat itu bersama Ahli Exco Kerajaan Negeri dan pegawai serta
kakitangan kerajaan negeri.
Hadir sama pemangku Setiausaha Kerajaan
Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun)
Terengganu, Dato’ Husain Awang dan ramai lagi.
PAS Terengganu kembali semula ke Wisma
Darul Iman buat kali ketiganya setelah memenangi 22 kerusi Dewan
Undangan Negeri (Dun) Terengganu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9
Mei lalu. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan