HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2018

Bertaubatlah Ayoh Chik, pesan Miqdad

N Faizal Ghazali

   
 
PRU14 | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang disarankan oleh anak saudaranya sendiri supaya segera "bertaubat".
Kenyataan dibuat Miqdad Zakaria itu dibuat ekoran analogi digunakan Abdul Hadi dalam warkah terbukanya kepada anak-anak bekas pemimpin PAS yang kini tidak lagi bersama parti itu.

Didahului dengan ucapan maaf, kata Miqdad, analogi Abdul Hadi yang memetik peristiwa anak Nabi Nuh yang kufur kepada Allah adalah salah sama sekali untuk menggambarkan kedudukan sebahagian anak-anak bekas pimpinan PAS yang keluar daripada parti itu.

"Minta maaflah, saya terpaksa sebut analogi Ayoh Chik (Abdul Hadi) bawa ini benar-benar salah dan bercanggah dengan agama Islam.

"Sebab dia, (kita) duduk dalam sistem demokrasi, dalam parti, (jadi) bila seseorang keluar parti diibaratkan (pula) seperti tukar iman dan menjadi kufur.

"Itu salah dan Ayoh Chik perlu taubat kepada Allah.

"Saya sendiri doakan agar Ayoh Chik panjang umur, sempat bertaubat minta ampun dengan Allah serta semua orang yang pernah Ayoh Chik kata macam-macam," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, malam tadi.

Sebelum itu Miqdad hadir menyampaikan ceramah di pusat daerah mengundi (PDM) Mulong di dewan undangan negeri (DUN) Salor.

Bukan kerana benci

Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat terbuka ditulis Abdul Hadi semalam khusus kepada anak-anak pemimpin parti itu yang meninggalkan "perjuangan" bapa masing-masing

Menurut calon PAS bagi parlimen Marang itu, mereka perlu membaca al-Quran dan bukannya asyik "membelek Facebook" sekali gus wajar segera meninggalkan bahtera Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera HARAPAN yang nakhodanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembantunya yang menebuk bahtera BN sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya.

"Maka PAS tidak bersama BN dan tidak juga HARAPAN," katanya.



"Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh yang memperlekehkan bahtera ayahnya, dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkan daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan.

"Apa yang menarik bahtera HARAPAN mengumpulkan kumpulan DAP yang antiislam secara terbuka.

"Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas al-Quran dan tidak yakin kepada kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, serta tidak percaya kepada para ulama dalam perkara politik," kata Abdul Hadi lagi.




Sementara itu, Miqdad yang juga ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Marang berkata, nasihat kepada bapa saudaranya itu bukan dibuat kerana perasaan benci, sebaliknya atas dasar kasih sayang.

"Hentikan hal-hal yang mempertikaikan akidah orang kerana parti.

"Bermain (aktif) parti ini patutnya secara subur dan baik. Masing-masing bawa manifesto, cara mentadbir dan kebaikan masing-masing.

"Ayoh Chik jangan halang orang nak buat kebaikan seperti mana orang lain tak halang PAS nak buat kebaikan, jadi bersaing secara baik," jelasnya.


Tiada ulasan: