IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mendakwa memiliki bilangan kerusi DUN yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata,
sehubungan itu beliau akan memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum kedudukan terkini itu dan
perkenan untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk.
Menurutnya, berdasarkan keputusan PRU14 tidak ada parti memperoleh
jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan
negeri Perak.
Katanya, BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan PAS tiga kerusi.
"Bagaimanapun sukacita saya ingin memaklumkan bahawa BN telahpun
mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri
Perak.
"Justeru saya akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizuddin Shah bagi menyembah maklum kedudukan terkini dan perkenan
untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk," katanya dalam kenyataan,
malam tadi.
Kenyataan tersebut dibacakan oleh Pengarah Komunikasi dan Korporat Pejabat Menteri Besar, Nizamuddin Mat Isa.
Terdahulu, PAS Perak memberi petunjuk awal untuk bergabung dengan BN bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan di negeri Perak.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata semalam, PAS pastinya
mahu memilih parti yang boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam
memperjuangan Islam demi kesejahteraan ummah.
Gabungan BN-PAS membolehkan kerajaan negeri ditubuhkan dengan majoriti mudah 30 kerusi berbanding Pakatan Harapan 29 kerusi.
PAS menang DUN Selama (Mohd. Akmal Kamarudin), Kubu Gajah (Khalil Yahaya) dan Gunung Semanggol (Razman Zakaria).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan