Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] “Saya perlu berurusan dengan presiden empat parti dan ini
tentu memeningkan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir
Mohamad pada sidang akhbarnya pada dinihari 10 Mei yang menyaksikan
tewasnya Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sesungguhnya memang itulah realiti baru bagi negara. Sejarah baru
tercatat dalam politik Malaysia apabila pihak pembangkang akhirnya
beralih tempat duduk dalam Dewan Rakyat sebagai kerajaan baru.
Bagaimanapun Dr Mahathir memahami bahawa cabaran yang akan dihadapi
kerajaan baru yang akan dipimpinnya berbanding pengalaman beliau
memimpin Umno-BN sebelum ini.
BN mempunyai parti komponen yang dominan iaitu Umno. Justeru agak mudah
untuk beliau membuat keputusan. Sebaliknya PH berteraskan konsep
kepimpinan konsensus tanpa kira saiz parti anggotanya. Soal sensitiviti
setiap parti perlu diambil berat.
Tambahan pula ia mempunyai anggota parti yang bersifat ideological
iaitu Amanah. Parti serpihan PAS itu sejak mula penubuhannya bertekad
menjadi parti Islam untuk menggantikan PAS.
Adakah Amanah yang mempunyai sumbangan kecil pada total kerusi parlimen
Pakatan Harapan akan banyak membuat desakan seperti PAS ketika zaman BN
awal-awal ditubuhkan dahulu?
PH juga sudah menambah bilangan komponennya meliputi parti Warisan dari
Sabah yang menokok 8 lagi kerusi Parlimen. Ini belum mengira satu lagi
kerusi UPKO serta tiga ahli Parlimen Bebas.
Namun ini nampaknya tidak sedikitpun menggusarkan Dr Mahathir kerana
pengalaman luasnya memimpin BN yang lebih majmuk apabila mengambil kira
politik kepentingan Sabah dan
Sarawak.
Lantaran itu, adalah menarik untuk memerhatikan bentuk dan komposisi
kabinet pertama Dr Mahathir yang dijanjikan oleh PH lebih “langsing dan
terarah” sebelum PRU baru lalu selepas mengangkat sumpah petang Khamis
ini.
Pada keseluruhannya PH kini memasuki era bekerja dan kurang bercakap
demi mewujudkan sebuah negara yang ditadbir berpaksikan semangat dan
syarat undang-undang. Kini soal kesetiakawanan dan wala’ setiap komponen
PH akan teruji.
Aspirasi rakyat ialah soal tawar-menawar politik ini haruslah
diselesaikan segera agar impian mereka mahu kerajaan baru yang mampu
menguruskan negara secara lebih berkesan dapat dicapai segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan