SHAH ALAM: Calon menteri besar daripada PAS akan mengangkat sumpah bagi
mengetuai kerajaan negeri Terengganu yang baru di hadapan Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Terengganu 9
malam ini.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussien Awang ketika
mengesahkan perkara itu berkata, nama menteri besar yang baru dan
barisan exco hanya akan diketahui sebaik sahaja majlis angkat sumpah
selesai.
“Kita telah mengadap Sultan untuk dapatkan tarikh bagi angkat sumpah menteri besar dan exco di Istana 9 malam ini.
“(Namun calon) belum mendapat perkenan Sultan, (jadi) kita tak boleh
umum. Kita akan putuskan tapi tak akan umum sebelum mendapat perkenan
Sultan,” katanya dalam sidang media di Rusila, Marang, hari ini.
PAS berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selepas
memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi malam tadi sebaik selesai PRU ke
14.
Hal itu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempertahankan kerusi parlimen Marang
BN pula hanya menang di 5 kerusi manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak memenangi sebarang kerusi.
Sebuah parti hanya memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu.
Mengulas lanjut, Hussien berkata menteri besar baru dan barisan exco
PAS hanya akan memulakan tugas dan memasuki Wisma Darul Iman pada Isnin
ini berikutan 13 Mei iaitu Ahad diisytihar sebagai cuti umum.
“Menteri besar dan barisan exco akan mula memasuki Wisma Darul Iman 14
Mei ini dan ketika kami memasuki Wisma Darul Iman kita akan adakan solat
hajat dan adakan pengalihan tugas daripada bekas menteri besar (lama)
kepada menteri besar baru.
“Kita mahu mengambil alih tugas dengan suasana tertib dan berakhlak,” katanya.
Bagaimanapun, katanya segala urusan kerajaan tempatan mahu pun agensi kerajaan akan berjalan seperti biasa.
“Seluruh kerajaan tempatan dan agensi kerajaan harus berjalan seperti
biasa dan tidak akan ada mana-mana balai raya yang akan tutup, jika ada
sekali pun ia adalah tindakan sabotaj dan PAS tidak bertanggungjawab,”
katanya.
Tambah Hussien, peralihan kuasa BN kepada PAS bukan untuk menzalimi sesiapa.
“Hari ini ialah hari kita membina kasih sayang dan kita mengambil alih
kerajaan negeri bukan untuk menzalimi sesiapa tetapi semata-mata
menjalin kasih mesra antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan