KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang cadangan menambah projek
Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada harga RM90,000 hingga
RM120,000 selewat-lewatnya tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata usaha itu
bagi membolehkan penjawat awam memiliki kediaman mereka sendiri
terutamanya bagi kumpulan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus
terendah (B40).
Katanya usaha itu merupakan penambahbaikan kepada projek perumahan
berkenaan seperti yang disuarakan Kongres Kesatuan Pekerja dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berdasarkan pendapatan penjawat awam.
"Kita akan buat penambahbaikan. Di sesetengah tempat, kita dah buat
cuma cabarannya adalah di Lembah Klang kerana perlu teliti isu tanah dan
pemberian subsidi atau menggunakan konsep subsidi silang.
"Ada projek, kerajaan boleh beri sehingga 30 peratus peruntukan tetapi
kita perlu lihat keseluruhan kos pembinaan," katanya selepas merasmikan
Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2018 hari ini, dipetik Utusan Online.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 200,000 permohonan bagi skim
perumahan itu diterima dengan 147,000 daripadanya sedang diproses dan
lebih 10,000 lagi telah diluluskan.
Mengenai cadangan menaikkan had gaji minimum penjawat awam, Ali berkata
ia perlu dilihat dalam semua aspek yang berkaitan termasuk ekonomi dan
hasil.
Terdahulu, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata kerajaan mempunyai
keupayaan untuk meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM2,500
berdasarkan peningkatan pencapaian ekonomi negara.
"Dengan mengambil perbandingan gaji minimum di China adalah 2,500 yuan
(bersamaan RM1,200) pada 2012, kini saiz ekonomi China mencapai AS$15
trilion.
"Ekonomi Malaysia turut berkembang dalam tempoh itu daripada RM690
bilion kepada RM1.23 trilion pada 2017. CUEPACS yakin dengan
perkembangan saiz ekonomi Malaysia, kita akan dapat gaji minimum seperti
yang diminta," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan