KULAI: Tiga maut, manakala tiga lagi cedera selepas dua kenderaan
terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai,
tengah hari,Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata,
kejadian pada jam 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Muhammad
Assel Habel Akbar, 21, Muhammad Safuan Sazali, 23, dan Mohamad Ridzuan
Mohamad, 24, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta
badan.
Katanya, kemalangan turut menyebabkan Nur Syahirah Mohamad Farid, 21,
Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24,
cedera dan mereka dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku
apabila kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aseel Habel gagal dikawal
menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi
jalan.
"Kereta itu berpusing beberapa kali menyebabkan pemandu dan Muhammad
Safuan yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di badan dan kepala," katanya dipetik BH Online.
Dzulkhairi berkata, pada masa sama pemandu PERODUA Bezza yang mengekori
Honda Civic terbabit, gagal mengawal kenderaan itu lalu terbabas ke
kiri jalan dan berpusing serta terbalik ke dalam longkang di kiri jalan.
"Pemandunya, Mohamad Ridzuan tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika hujan, selain keadaan persekitaran agak gelap.
"Keadaan jalan lurus yang mempunyai laluan dua hala dengan setiap hala
mempunyai dua lorong. Setiap lorong dipisahkan garisan putih
putus-putus," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987
kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan
kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan