Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik hari ini menegur tindakan
penyokong parti yang menghantar ugutan bunuh, mencederakan dan
menggunakan perkataan jelik terhadap petugas Suruhanjaya Pilihanraya
(SPR).
Timbalan Penasihat Undang-Undang UKM, Dr Salawati Mat Basir berkata,
parti politik yang baik yang mahu memerintah negara mesti memperlihatkan
contoh yang baik.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan hari ini Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mahu Polis Diraja Malaysia
(PDRM) menyiasat laporan ugutan bunuh yang diterima oleh petugas SPR.
Dr Salawati berkata, SPR sudah menetapkan beberapa garis panduan jelas
yang perlu dipatuhi penyokong parti ketika pilihan raya namun ada
segelintir yang dilihat terlalu ekstrem sehingga ingin membahayakan
nyawa orang lain.
"Dia bukan tidak ada garis panduan. Emosilah (penyokong).
"Sepatutnya bila turun berkempen, kita kena ikut peraturan kempen yang
telah ditetapkan oleh SPR. Suka atau tidak, peraturan yang telah
ditetapkan oleh SPR mestilah dipatuhi," ujarnya.
Dr Salawati menasihatkan penyokong parti supaya tidak terbawa-bawa
dengan sikap fanatik serta terlalu ekstrem kerana semuanya akan
bekerjasama untuk majukan negara.
"Pilihan raya adalah untuk menentukan perjuangan dan hala tuju negara
untuk lima tahun lagi. Tidak perlulah terbawa-bawa dengan sikap fanatik,
sayang yang terlalu ekstrem terhadap parti sebab akhirnya kita akan
terpaksa bekerjasama dengan semua pihak untuk memajukan negara,"
tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan