HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Mei 2018

'Perlis contoh kenapa anak muda meluat pada Umno'

MALAYSIAKINI

   

Krisis kepemimpinan Perlis bukan saja meresahkan orang ramai tetapi turut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Umno.

Ketua Puteri Umno Malaysia misalnya berpendapat apa yang berlaku di Perlis hari ini akan memberi kesan buruk kepada parti berkenaan.

Menurut Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada umumnya Perlis bukanlah kawasan yang besar berbanding negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Kata anggota parlimen Masjid Tanah, Melaka itu dalam keadaan demikian sepatutnya pemimpin dan rakyat Perlis boleh berpakat.

"Negeri sebesar daerah (saja) tapi ada DUN (dewan undangan negeri), MB (menteri besar), ahli parlimen di kalangan Umno dan ada Raja, Perlis sepatutnya sepakat," katanya melalui Twitter.

Perlis menjadi sebutan hari ini apabila berlaku krisis kepemimpinan ekoran pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Azlan mengangkat sumpah jawatan di depan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Saling rebut kuasa

Namun sembilan daripada anggota dewan undangan negeri (ADUN) Umno tidak hadir di majlis berkenaan, berbanding tiga Pakatan Harapan dan dua PAS.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan tiga kerusi parlimen.

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim kemudian memohon Raja Perlis supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri.




Mengulas tindakan Datuk Seri Azlan Man yang pagi tadi mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar negeri itu, beliau berkata keputusan berkenaan dibuat tanpa mendapat sokongan majoriti ADUN Perlis.

Untuk rekod Shahidan pernah menjadi menteri besar Perlis sebelum dibawa ke parlimen menjadi menteri.

Selepas PRU ke-14 berakhir, Shahidan mencadangkan nama adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai calon menteri besar baru negeri itu.

Ismail ialah ADUN Tambun Tulang.

Perlis menjadi negeri terakhir menyaksikan pelantikan menteri besar selepas PRU ke-14.

Mas Ermieyati berkata apa yang berlaku bepunca daripada sikap berebut kuasa.

"Disebabkan sikap berebut kuasa yang tak pernah habis, Perlis sekadar negeri contoh mengapa anak muda meluat dengan Umno. #berubahlah," ciapnya.


Tiada ulasan: