HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Mei 2018

Potong gaji: Anwar saran k'jaan negeri contohi Putrajaya

malaysiakini

   

Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarakan kerajaan negeri yang dikuasai gabungan itu mencontohi pemotongan gaji yang dilakukan Putrajaya.

Kata Anwar kemenangan HARAPAN melalui pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu membuka dimensi terhadap imej baru kerajaan.

Katanya dengan kemenangan itu juga tiada lagi amalan boros serta protokol melampau.
Justeru kata bekas perdana menteri itu budaya baru dalam kerajaan perlu dilaksanakan.

"Saya menyambut baik beberapa inisiatif yang diambil kerajaan pusat untuk memotong gaji menteri kabinet sebanyak 10 peratus, serta menghentikan sebarang amalan pemberian hadiah sempena pelantikan.

"Justeru saya menggesa semua kerajaan negeri HARAPAN agar dapat mempertimbang dan melaksanakan langkah yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil mesyuarat pertama kabinet pada 23 Mei lalu memutuskan supaya gaji anggota kabinet dipotong sebanyak 10 peratus sebagai langkah berjimat cermat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemotongan itu dibuat berdasarkan kepada gaji asas.

Lebih daripada itu katanya kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan gaji jemaah menteri walaupun sesetengah pegawai kerajaan mendapat gaji lebih tinggi.

"Ini tabiat saya. Ketika pertama kali menjadi perdana menteri (pada 1981), perkara pertama saya buat ialah potong gaji menteri dan pegawai kanan kerajaan," katanya.

Namun pemotongan kali ini tidak melibatkan pegawai kanan kerajaan seperti ketua setiausaha negara, dan terserah kepada pihak terbabit sama ada mahu mencontohinya atau tidak.

Anwar berkata kemenangan HARAPAN perlu disambut dengan kesedaran yang penuh bahawa rakyat dan media bebas sentiasa membuat pemantauan terhadap kerajaan.

"Tiada lagi amalan pemborosan, protokol yang berlebihan lagi melelahkan, serta bermegah-megah demi membangun citra," katanya.


Tiada ulasan: