RASANYA seperti baru
semalam PRU14 ini berlangsung. Hawa panasnya masih terasa. Jika dulunya
kita pernah dengar tentang pengundi hantu dan penipuan dalam PRU, tetapi
dalam PRU14 ini semuanya telah suci.
Isu tak boleh mengundi disebabkan ada
orang lain telah undi untuknya tak didengari, isu lori dari Thailand
yang membawa masuk ramai orang dalam Malaysia yang dikatakan sebagai
pengundi hantu juga dengan tiba-tiba menjadi suci, isu undi pos dalam
PRU14 ini juga menjadi suci dan isu blackout juga telah suci.
Bagaimana pula PRU14 ini menjadi PRU
paling suci? Bukankah dari awal bibit-bibit untuk mengatakan bahawa SPR
melakukan penipuan telah ada seperti isu-isu di atas dan kemungkinan
akan menyebabkan PKR kalah apabila berlaku penurunan peratus yang keluar
mengundi iaitu tak sampai 80 peratus di sesetengah kawasan. Apakah
persepsi terhadap SPR telah disucikan setelah PKR memenangi PRU kali
ini?
Bagi saya, itulah taktik. Sepanjang
kempen PRU14 ini pelbagai taktik dan strategi telah dilancarkan oleh
semua parti untuk pastikan mereka mendapat kemenangan. Sentimen,
persepsi, populariti dan pelbagai lagi kaedah didedahkan. Dari semua
ini, ia tergolong kepada tiga kelompok iaitu kelompok yang mahukan
Islam, yang mahukan Melayu, dan yang mahukan keadilan.
Dari kebanyakkan strategi berkempen,
strategi persepsilah yang berjaya. Persepsi ini adalah andaian atau
tuduhan awal untuk membenarkan sesuatu masalah itu dianggap betul.
Betul atau tidak perkara yang dibawa itu
tidak kisah, asalkan ia mampu memberi persepsi negatif parti lawan
sekali gus memberikan kemenangan kepada parti sendiri. Bunyinya sesuatu
yang agak pelik tetapi itulah politik. Politik di Malaysia kini boleh
dianggap sebagai ‘permainan persepsi’. Siapa yang tidak berpersepsi
tidak dianggap berpolitik.
Dalam Islam pendekatan seperti ini tidak
dibenarkan untuk dilakukan. Maka, PAS sedar tentang perkara ini yang
kemudiannya memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Dengan budaya ini mereka telah mengatur strategi secara Islam iaitu
lebih mengutamakan populariti calon dan hebahan manifesto daripada
sebarang persepsi negatif kecuali jika ada asas faktanya.
Dalam masa yang sama PAS telah berusaha
untuk menangkis segala tohmahan dan persepsi buruk parti lawan dengan
mengutarakan pelbagai fakta. Namun, malangnya rakyat Malaysia lebih
senang dengan politik persepsi dari politik fakta.
Antara persepsi yang berjaya menjatuhkan
pandangan positif terhadap PAS ialah ‘Undi PAS undi BN’. Persepsi ini
telah dihebohkan dalam masyarakat untuk membawa kebimbangan kepada para
pengundi bagi menolak PAS di samping kekal menolak BN.
PAS tidak berjaya menolak persepsi ini
kerana rakyat lebih percayakan persepsi. Ya, dengan persepsi itu mereka
berjaya meranapkan harapan PAS untuk memenangi PRU14 ini walaupun hanya
bercita-cita untuk menjadi King Maker di peringkat Pusat.
Setelah selesai PRU14, PKR diumumkan
sebagai pemenang dan layak memerintah Malaysia. Walaupun begitu sekali
lagi persepsi negatif kepada PAS iaitu ‘Undi PAS undi BN’ diviralkan seolah-olah ada ura-ura PAS akan bergabung dengan BN untuk menafikan kemenangan PKR di Perak dan di Kedah.
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pun belum
bermesyuarat tentang perkara ini tetapi persepsi telah berlegar
menghantui rakyat Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah sebahagian besar
masyarakat percaya dengan persepsi ini dan ada yang mengeluarkan
perkataan kesat kepada PAS. Mungkin inilah gaya politik terbaru rakyat
Malaysia yang lebih senang dengan persepsi negatif berbanding dari
menerima fakta yang benar.
Dalam ketika ura-ura persepsi begitu,
dengarnya PKR telah memperoleh majoriti mudah apabila Adun BN ada yang
melompat ke PKR. Untuk PKR boleh pula ya.
Sekarang hanya tinggal di Perak. Untuk
Perak, Dato Seri Abdul Hadi Awang Presiden PAS mengeluarkan keputusan
mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menyetujui bahawa PAS sama
sekali tidak akan bergabung hanya dengan BN, tetapi menganjurkan
pembentukan Kerajaan Campuran tanpa pembangkang iaitu gabungan PAS, PKR
dan BN, namun ia tidak berjaya.
Kenapa? Kerana PKR telah bergabung dengan beberapa Adun BN untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak dan menafikan keputusan PAS. See.
Bolehkah kita membuat persepsi negatif kepada pihak lain, sedangkan
pihak tersebut tak melakukan hal sedemikian, namun sebaliknya pihak yang
melontarkan persepsi pula yang melakukannya. Di mana keadilannya?
Apakah PAS terdesak untuk bergabung
dengan BN walaupun sepatutnya PAS boleh bertindak begitu? Apakah PAS
terlalu terdesak untuk mengambil Perak dan Kedah walaupun PAS boleh
bertindak sedemikian? Tidak, semuanya tidak kerana dari awal PAS
berpegang dengan prinsip Islamnya. Siapa yang menerima prinsipnya
barulah boleh bergabung, jika tidak jangan haraplah akan ada sebarang
gabungan. Tetapi rakyat tak percaya kepada PAS dan lebih percayakan
persepsi dan ingin menjatuhkan BN walau dengan cara apa sekalipun.
Akhirnya, bukan PAS yang bergabung
dengan BN tetapi PKR-lah yang membuat sedemikian. Walaupun begitu, PKR
tetap disucikan. PAS dizalimi dalam hal persepsi ini. Jika PKR
perjuangkan keadilan sepatutnya PKR dan penyokongnya perlu minta maaf
dengan PAS dari kezaliman ini.
PAS telah berjaya membuktikan bahawa
mereka dari awal menolak BN dan menolak PKR. Persepsilah yang
meruntuhkan budaya baik Melayu-Islam. Kita semua perlu bangkit untuk
sedarkan masyarakat dari amalan penyebaran persepsi negatif ini.HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan