KUALA LUMPUR: Polis percaya dua suspek yang terbabit dalam pembunuhan
pensyarah dari Palestin, Fadi al-Batash sudah melarikan diri ke luar
negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sepasukan
anggota sudah dihantar ke Bangkok, Thailand untuk mengesan dua lelaki
itu.
“Selain Thailand, kita juga berhubung dengan pihak berkuasa Singapura
dan Indonesia. Kita mengesyaki begitulah (mereka sudah melarikan diri),”
katanya pada sidang media di Bukit Aman, dipetik FMT.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi 21 April lalu, Batash, 35, ditembak
mati ketika berjalan ke surau dekat kondominiumnya di Jalan Meranti,
Setapak, untuk menunaikan solat subuh.
Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit, sebelum melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa.
Mangsa yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di
ibu negara dan merupakan imam kedua di masjid berhampiran tempat
tinggalnya, meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan empat kesan
tembakan di kepala dan badan.
Fuzi sebelum ini dilaporkan berkata, polis menemui motosikal yang
dipercayai digunakan suspek dalam kes itu berhampiran Tasik Danau Kota
di Setapak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan