MALAM tadi sekali lagi
mencurah-curah di media sosial analisis PAS gagal mempertahankan
Kelantan. Peliknya angka diberi bukan menggambarkan bilangan undi
sebaliknya ditulis responden.
Maknanya ia bukan data dari bilik tempat
mengundi, sebaliknya kajian rambang. Ditulisnya setiap Dun bermula di
Pengkalan Kubor sehingga ke Nenggiri. Semuanya diberi gambaran PAS
kalah.
Begitu juga bagi kerusi parlimen PAS
tewas. Menariknya setiap statistik dikemukakan Parti Amanah Negara (PAN)
berada di hadapan mengatasi jumlah responden BN.
Inikah yang dinamakan ‘war room’ atau ‘peperangan baru’ menuntut lebih stamina emosi. Ramai gundah apabila membaca laporan itu.
Pakcik dan makcik juga ditunjuk anak
cucu data laporan terbabit. Mereka menjadi kelu seketika. Ini menggambar
sayangnya mereka kepada kerajaan Islam Kelantan.
Namun ‘war room’ dari
bilik sebelah tidak mampu bertahan lama. Akhirnya ranap begitu sahaja
menjelang jam 12 malam tadi. Ketika itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengesahkan PAS menang 28 kerusi Dun.
Bilangan kerusi Dun Kelantan 45. Ini
bermakna sudah melepasi simple majority. Ketika PAS di saat kritikal
pada PRU 2004 hanya menang 24 kerusi Dun berbanding BN 22.
Dan selepas pilihan raya kecil diadakan
kerusi PAS susut kepada 23 dan BN bertambah kepada 23. Namun sehingga
jam 12 malam tadi kerusi PAS sudah 28 kerusi seperti disahkan SPR.
Bagaimanapun selepas mendapat keputusan
keseluruhan di awal dinihari, meningkat pula sebanyak 9 lagi. Ia
menjadikan jumlah keseluruhan 37 kerusi. Sedangkan Jentera Pilihan Raya
PAS Kelantan sebelum penamaan calon membayangkan sasaran PAS menguasai
38 kerusi.
Ini bermakna hanya kurang satu kerusi
untuk menepati sasaran. Hebat telahan jentera Jabatan Pilihan Raya PAS
Kelantan yang diketuai Zulkifli Mamat.
Biar pun beliau kecundang di kerusi parlimen Machang, namun analisis dan jangkaannya hampir tepat.
PAS berjaya menambah lima lagi kerusi
Dun berbanding PRU 13. Kerusi tersebut iaitu Dabong, Semerak, Pengkalan
Kubor, Guchil dan Selising. Guchil pada PRU lepas diwakili PKR yang
dibantu jentera pilihan raya PAS.
Keputusan pimpinan negeri meletak Yang
Dipertua PAS Pasir Puteh dalam misi merampas Dun Selising juga berjaya.
Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail menang dengan majoriti besar iaitu
3,120 undi.
Sedangkan menjelang pengumuman calon
PAS, ada rombongan PAS Selising datang menemui Pesuruhjaya PAS Negeri,
Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob unjuk rasa.
Sertai Umno sokong PAS
Dan tahun lepas juga bekas penghulu di
Selising mengumumkan menyertai Umno dengan menyerah borang kepada calon
parlimen BN Pasir Puteh, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Penghulu terbabit memberi jaminan akan
kembali kepada PAS sekiranya saya dicalonkan bertanding di Selising,”
kata Ustaz Tuan Saripuddin.
Begitu juga kejayaan Tok Imam Ku Zaki
merampas semula Dun Dabong. Setelah kubu itu ditinggalkan Ketua Umno
Kuala Krai untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai, kerja Tok
Imam menjadi lebih mudah.
Mungkin impian Dato’ Ramzi Abdul Rahman
dilantik sebagai timbalan menteri ranap di tengah jalan. Beliau
kecundang di tangan Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.
PAS juga mengukuhkan kedudukan di Tumpat
apabila menguasai sepenuh kerusi parlimen dan empat Dun. Pengkalan
Kubor yang berada dalam genggaman Umno sejak PRU 2004 kembali dikuasai
PAS.
Kehadiran Ustaz Wan Ruslan Wan Hamat diterima masyarakat Pengkalan Kubor.
Isu yang membelit Ketua Umno Pasir
Puteh, Dato’ Zawawi Othman juga memberi laluan kepada Wan Hassan Wan
Ibrahim untuk kembali ke kerusi Dun Semerak.
Apa pun kesedihan paling hiba menimpa PAN. Calon Menteri Besar yang diimpikan pemimpin mereka tercicir di tengah jalan.
Ustaz Nik Omar yang dicadang Husam Musa
seumpama ‘menjunjung reba’. Bukan sekadar Nik Omar gagal, Husam
tertiarap di tangga parlimen Kota Bharu dan Dun Salor.
Biar pun PAN dan PKR cemerlang di pantai
barat, namun di pantai timur tidak. Bagi mengubat gundah gelana Husam,
eloklah Tun Dr Mahathir intai Naib Presiden PAN itu kerusi Speaker
Parlimen nanti. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan