TSUNAMI politik baru
sahaja berlaku sehinggakan Kerajaan Persekutuan beralih teraju daripada
Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Kerajaan-kerajaan
negeri juga hampir semuanya dilanda perubahan yang sama. BN hanya
menguasai dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis.
Tanpa dapat dinafikan, PAS juga
sebahagian daripada tsunami itu; kerana itu PAS kekal di Kelantan dan
memenangi Terengganu selain berjaya menambah jumlah kerusi DUN di
seluruh negara dan meraih kemenangan di 18 kerusi Parlimen.
Keputusan PRU14 ini menunjukkan tekad
rakyat bagi menterjemahkan penolakan terhadap dasar dan polisi Kerajaan
yang diterajui oleh BN selama ini yang telah membebankan kehidupan
mereka.
Sekalipun pelbagai habuan bernilai besar
masih dihidangkan sehinggakan pada malam terakhir sebelum hari
pengundian, rakyat tetap memilih untuk tidak lagi mengundi BN.
Rakyat mahukan perubahan. Perubahan yang
lebih baik berbanding yang sedia ada. Rakyat mahukan pemimpin yang
berintegriti dan berakhlak; pengurusan ekonomi yang adil dan diberkati;
kerjasama semua pihak dalam seruan dan gerakan kebaikan dan kebajikan;
pencegahan salah laku dan jenayah yang berkesan serta gagasan kenegaraan
jangka panjang yang lebih terarah dan menyeluruh.
Maka selesailah sudah episod pemilihan dengan tumbangnya BN yang telah luput ciri-ciri ini setelah 60 tahun memerintah Malaysia.
Kini, Kerajaan Persekutuan dan
kerajaan-kerajaan negeri sedang dalam proses melengkapkan pembentukan
masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara atau negeri
dan rakyat.
Kita selaku pengundi yang telah membuat
pilihan pada PRU14 baru-baru ini mesti terus menjalankan kewajipan
berikutnya iaitu memantau dan mengawal kerajaan yang baru dibentuk ini.
Dibimbangi, sekiranya kita terlalu selesa selepas telah tumbangnya BN,
akan muncul lagi BN kedua dengan nama yang baru.
Kita mesti memastikan dasar dan polisi
yang digubal kerajaan adalah seimbang dan baik untuk rakyat dan negara
serta berteraskan perlembagaan dan undang-undang. Kita mesti memastikan
orang yang betul diletakkan di tempat yang betul bagi melaksanakan
portfolio kementerian dan jawatankuasa yang diwujudkan. Kita mesti
memastikan projek dan program yang disusun dilaksanakan secara telus,
bebas rasuah dan kronisme.
Sekiranya kelihatan tanda-tanda ke arah sebaliknya, bahkan sebelum ia berlaku pun, kita mesti melakukan amr bil ma'ruf wa nahy an al-munkar
terhadap kerajaan yang memerintah, bermula dengan memberikan nasihat
dan teguran disusuli dengan tindakan yang lebih tegas jika perlu.
Pendirian dan sikap PAS terhadap
Kerajaan Persekutuan tetap sama tanpa mengira DS Najib Razak atau Tun
Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira BN atau PH yang
menerajui kerajaan adalah sama sahaja iaitu taawun.(kerjasama) atas dasar kebajikan dan taqwa.
PAS sedia menyokong dan menolong pada
perkara yang baik. Namun, PAS juga bersedia membantah dan menghalang apa
juga tindakan yang merugikan rakyat dan negara lebih-lebih lagi yang
membelakangkan kedudukan dan peranan Islam dan umat Islam di negara ini
yang telah dijamin oleh perlembagaan.
Justeru, saya mengajak semua rakyat
Malaysia untuk kita terus menjadi pengundi yang bertanggungjawab bukan
sahaja dengan membuang undi pada hari pengundian, bahkan juga menjadi
pemantau dan pengawal yang berkesan sepanjang tempoh mandat memerintah
ini diberikan kepada parti-parti politik berkenaan.
Semoga Allah memelihara kita semua daripada tipu daya dan bala bencana.
*YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ,Ahli Parlimen Kuala Nerus
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan