
Kementerian Pendidikan berkata, isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diambil kira sebelum mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan UEC yang akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia juga diambil kira.
Sehubungan itu, beliau tetap mengutamakan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung sijil yang dikeluarkan sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) itu.
“Justeru, pandangan daripada pelbagai pihak adalah amat penting dan interaksi kementerian bersama pihak berkenaan tetap menjadi keutamaan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Johor itu pada 12 Julai lalu berkata, kerajaan tidak membuat pusingan-U dan menyeluruh apabila merancang untuk mengiktiraf UEC.
Bagaimanapun, banyak pihak yang menyokong sistem pendidikan kebangsaan menggesa kerajaan tidak melayan tuntutan UEC yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan itu.
Antaranya, termasuk tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar keputusan terburu-buru itu memandangkan pelaksanaan UEC tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.
Bahkan, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berpendapat pengiktirafan UEC hanya akan merugikan pelajar Cina dari aliran kebangsaan kerana terpaksa bersaing dengan pemegang UEC.
Pada 13 Julai lalu, sekumpulan tokoh bahasa Melayu diketuai Datuk Dr Awang Sariyan bertemu dengan Maszlee manakala wakil Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) berdialog dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu memberitahu beliau kini lebih tenang selepas mengetahui tidak keseorangan dalam perjuangan menuntut pengiktirafan UEC.
Beliau pada 8 Julai lalu berkata mahu UEC diiktiraf secepat mungkin sebelum hujung tahun ini kerana UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.
Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) juga disertakan dalam manifesto BN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan