Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak mengarahkan
bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menulis surat
kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) bagi memohon
sokongan negara itu, menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Bekas perdana menteri juga berkata beliau tidak tahu
menahu berkaitan surat itu dan apa yang dilaporkan berkaitan
surat-menyurat yang mencadangkan bertujuan mendapatkan sokongan AS
selepas, bukan sebelum pilihan raya.
“Saya terkejut,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.
“Saya tidak tahu pun kewujudannya.
"Bukan semua surat kena lalu saya,” katanya.
Najib berkata, agensi kerajaan, termasuk yang berkaitan
dengan hal ehwal risikan, mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan
tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.
“Sementara saya tidak ada peluang untuk lihat surat itu,
apa yang dilaporkan media mencadangkan surat bagi mendapatkan sokongan
berterusan AS untuk kerajaan Malaysia jika BN menang dalam pilihan raya
bagi tujuan kestabilan selepas pilihan raya.
“Apa yang dilaporkan surat itu tidak dilihat mendapatkan
bantuan AS untuk menang pilihan raya – tetapi selepas pilihan raya,”
katanya.
Najib berkata surat itu mungkin dihantar dengan niat
memelihara kestabilan kerajaan selepas kerajaan jika terdapat kemenangan
tipis.
“Mungkin media dapat mendedahkan keseluruhan surat itu supaya orang ramai, termasuk saya, lebih faham,” tambahnya.
Setelah melihat tiga halaman surat bertarikh 4 Mei kepada pengarah CIA ketika itu Gina Haspel, Malaysiakini sebentar
tadi melaporkan surat itu meminta dukungan AS terhadap pentadbiran
Najib jika BN menang mudah atau hanya menang satu kerusi.
Surat itu menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif
dan mesra AS sedangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang
ketika itu memimpin barisan pembangkang, sebagai “anti-Barat”.
Seorang jurucakap pentadbiran Mahathir mengesahkan kesahihan surat itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan Najib
menyuarakan rasa kecewa dengan tuduhan Najib khianat pada negara dengan
kewujudan surat itu.
“Sedangkan ia dilihat seperti dihantar dengan hasrat
baik supaya negara ini tidak jatuh ke kancah sengketa awam atau
demonstrasi besar selepas PRU14 jika kerajaan tergantung atau kemenangan
tipis berlaku.
“Sebagai contoh, perkara lebih penting seperti mentadbir negara sekarang memandangkan kamu yang berkuasa," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan