HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Julai 2018

PM, TPM, menteri adalah anggota pentadbiran – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet dan wakil rakyat dari parti pemerintah kini diklasifikasikan sebagai sebahagian anggota pentadbiran dalam usaha membendung gejala rasuah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pindaan akan dibuat ke atas Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan bagi membolehkan tafsiran Anggota Pentadbiran diperluas.

Beliau berkata melalui angkah itu, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika memiliki aset dan pendapatan yang tidak dapat dijelaskan puncanya.

“Jika terima hadiah perlu dilapor kepada pihak bertanggungjawab kalau ada pemberian yang tidak dibenarkan maka tidak boleh diterima oleh menteri-menteri, atau perdana menteri dan timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah kali kedua di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya kelonggaran diberi untuk hadiah seperti bunga, makanan atau plak penghargaan.

“Jika mereka ditawarkan kereta Mercedes, mereka wajib menolaknya, samalah juga halnya jika ditawarkan kereta Proton sekalipun,” kata beliau.

Katanya pentadbiran kerajaan sebelum ini dilihat menyembunyikan kes rasuah daripada pengetahuan umum khususnya yang melibatkan kepimpinan tertinggi ketika itu.

“Kewujudan kes rasuah amat jelas tetapi para pegawai mengambil tindakan tidak betul, misalnya tiga laporan penyiasatan yang diperakui oleh kerajaan menunjukkan tiada salah laku oleh perdana menteri.

“Tetapi jika laporan itu menunjukkan tiada sebarang salah laku oleh perdana menteri, kenapa ia perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), biasanya kita tidak boleh menyembunyikan  laporan seperti itu misalnya laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tetapi yang ini disembunyikan daripada pengetahuan umum,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut mengingatkan pegawai kerajaan untuk membuat laporan sekiranya terdapat unsur rasuah dalam jabatan atau kementerian masing-masing dalam usaha membendung gejala rasuah.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan  Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Tiada ulasan: