KITA berada di zaman
edan, kemaksiatan dan kemungkaran dibungkus rapi atas nama kebebasan
berekspresi, hak asasi manusia dan hak menikmati seni. Sensate culture
dan budaya popular bukan sahaja digilai oleh anak-anak muda ranggi
namun terus dikembang subur oleh penguasa. Kesungguhan YB Nurul Izzah
untuk membawa masuk kumpulan Radiohead ke Malaysia sebagai balasan
kepada rakyat negara ini yang menyokong peralihan kuasa 9 Mei adalah
terlalu rapuh dan dangkal.
Kumpulan muzik ini sangat mesra Zionis
dan entiti haram Israel, antaranya kerana isteri salah seorang pemain
guitar kumpulan itu, Jonny Greenwood adalah artis kelahiran Israel yang
bernama Sharona Katan. Tidak menjadi kepelikan, dalam keadaan semakin
ramai figura yang terlibat dalam industri seni, atlit, tokoh budaya,
pemikir dan ahli musik menyeru kepada pemboikotan Israel dalam bidang
seni dan budaya serta apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Radiohead mengambil sikap melawan arus dan mengambil tingkah yang
menyokong rejim, mereka juga aktif membuat persembahan di Israel bahkan
menjadi alat propaganda kepada Kerajaan Israel. Mereka telah mengadakan
lapan kali konsert di Israel dalam tempoh 20 tahun, malah disensasikan
oleh media hiburan antarabangsa sehingga melonjakkan nama mereka sebagai
artis popular.
Radiohead adalah satu kumpulan muzik
yang membawa tema-tema politik ekstrem berhaluan kiri di dalam lagu-lagu
mereka. Anak-anak muda ranggi yang kononnya rebel meminati genre ini, sebenarnya muncul dalam cerminan zaman dekad 90-an. Bukanlah satu perkara yang pelik, laras genre seperti raggae, blues, rock menjadi wahana untuk mengekspresi pelbagai latar isu politik dan sosial.
Kumpulan ini sering memicu sensasi, antaranya Thom Yorke, ketua band
ini pernah menunjukkan rasa jengkel kepada penonton konsert dengan
menunjukkan jari tengahnya (simbol lucah), beliau juga mengucapkan
kata-kata lucah apabila terdapat beberapa penonton yang menjulang dan
mempamerkan bendera Palestin di sebuah konsert di Glasgow, Scotland pada
bulan Julai, 2017. Tindakan itu mengundang kecaman kepada Radiohead
oleh simpatisan perjuangan Palestin.
Satu perkara yang boleh dipuji adalah,
sikap netizen yang amat prihatin dan peka dengan perkembangan semasa
khususnya melibatkan anak-anak muda. Golongan yang membantah ini merasa
terpanggil untuk tidak melihat semakin banyak keruntuhan akhlak dan
moral terhadap generasi muda. Penyumbang utamanya yang dikenal pasti
daripada aktiviti hiburan yang melampau yang tidak ada batasan.
Bagi umat Islam negara ini, usaha
mengundang Radiohead tidak menyumbang kepada pembinaan peradaban dan
kemajuan tamadun negara ini. Indeks gejala sosial negara ini sangat
membimbangkan, gejala seks bebas, penagihan najis dadah, seks songsang,
perlecehan pada agama, penularan wabak HIV dan pelbagai masalah
bertindan tindih. kita menyedari budaya seronok melampau, Hedonisme, sensate culture
adalah jarum halus Zionis yang menyucuk minda anak-anak muda agar
ghairah dengan keseronokan, kebebasan, pergaulan tanpa batasan dan cinta
muda-mudi yang mengasyikkan. Bayangkan jika dibiarkan pelbagai konsert
menjadi fenomena dalam industri hiburan negara dan menjadi dendangan
atau siulan anak-anak muda. Ke mana kita ingin membawa anak-anak muda
kita pasca PRU14? Meralikkan mereka dengan candu hiburan supaya mereka
melupakan janji-janji manifesto permuafakatan politik penguasa?
Apa yang membimbangkan, elemen negatif,
liar dan merosakkan mudah sangat diterima anak-anak muda negara ini,
diangkat malah diidolisasikan oleh anak-anak muda. Lagu-lagu Radiohead
mudah mendapat tempat di hati peminat hiburan sedangkan liriknya tidak
langsung mengandungi mesej yang bernuansa ketuhanan malah tidak sesuai
dengan budaya dan adat resam anak muda. Alangkah baiknya jika
pemimpin-pemimpin negara ini menganjurkan program yang membangun
peradaban, membangun minda masyarakat khususnya golongan belia pula
mendapat tarikan dan ikutan pula sehingga menjadi fenomena luar biasa.
Apa yang diharapkan agar kerajaan
bertanggungjawab memantau aktiviti hiburan di negara ini, memantau
perkembangan industri hiburan di negara ini. Jangan hanya menunggu
laporan dan rungutan netizen untuk bertindak, sebaliknya apa juga elemen
yang cuba dibawa masuk ke negara ini atau cuba dicetuskan oleh rakyat
di negara ini mesti ditegah serta merta. Selain itu, pelbagai aktiviti
yang dianjurkan seperti konsert-konsert hiburan, pesta-pesta hiburan
yang melibatkan artis luar negara perlu diperketatkan kelulusan agar
hanya mereka yang berimej bersih sahaja layak membuat persembahan.
Saya mengharapkan seluruh umat Islam,
juga netizen sentiasa memberi kerjasama baik dengan menjadi mata,
telinga dan lidah rakyat yang kasih dengan pembinaan budaya, adat resam
dan masa depan cemerlang buat generasi muda. Semakin banyak pendedahan,
kritikan, teguran mahupun pandangan positif bagi mengekang budaya liar
semakin baik agar akhlak generasi muda terpelihara.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI ) - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan