HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Julai 2018

Selepas 41 tahun berkhidmat KD Mutiara dilucut tauliah

SINAR HARIAN

Selepas 41 tahun berkhidmat KD Mutiara dilucut tauliah
Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (duduk, tengah) bergambar di hadapan kapal bersama bekas Pegawai Pemerintah Kapal Diraja (KD) Mutiara pada Majlis Perlucutan Tauliah KD Mutiara di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini. Foto - Bernama
 
 
LUMUT - Suasana hiba menyelubungi Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena istiadat  pelucutan tauliah Kapal Diraja (KD) Mutiara di Tambatan Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Setelah 41 tahun menabur bakti bersama pasukan keselamatan tersebut, kapal itu hari ini secara rasmi dikeluarkan daripada inventori Skuadron Hidrografi ke-36 TLDM dan ditamatkan perkhidmatan dalam menjalankan kerja-kerja pengukuran hidrografi di perairan negara.

Majlis yang dihadiri lebih 300 anggota dan pegawai TLDM serta 11 bekas pegawai memerintah kapal tersebut disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan) menandatangani Carta Peringatan pada Majlis Perlucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Mutiara di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya berkata KD Mutiara merupakan satu-satunya kapal yang menyediakan perkhidmatan hidrografi bagi memastikan laluan pelayaran di perairan negara dalam keadaan selamat terutama melibatkan kapal-kapal kargo dan tangki yang besar.

“TLDM melalui Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah diberi mandat oleh kerajaan sebagai agensi tunggal untuk menyediakan carta hidrografi bagi tujuan keselamatan navigasi di laut.

Ahmad Kamarulzaman turut mengucapkan tahniah kepada bekas pemerintah dan anak kapal yang telah menjaga kapal tersebut dengan baik dan memastikan setiap tanggungjawab yang digalas kapal ini berjalan dengan lancar sepanjang perkhidmatannya.

KD Mutiara dibina pada tahun 1975 dengan kontrak pembinaan kapal tersebut bernilai RM38 juta diserahkan kepada sebuah syarikat pembuat kapal tempatan di Pulau Pinang sebelum dilancarkan pada 13 November 1976, dan ditauliah secara rasmi pada 18 Disember 1977.

KD Mutiara telah merekodkan pelayaran sejauh 223,167.43 kilometer (km) atau bersamaan enam kali mengelilingi dunia dan sebanyak 146 arahan hidrografi merangkumi keluasan 68,598 km persegi.
Kapal Diraja (KD) Mutiara mengakhiri perkhidmatannya setelah berkhidmat hampir 41 tahun bersama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada Majlis Perlucutan Tauliah KD Mutiara yang disempurnakan oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.- Foto Bernama
Kamarulzaman berkata tanggungjawab dalam bidang hidrografi yang dipikul KD Mutiara, kini dilaksanakan sebuah kapal yang disewa daripada sebuah syarikat swasta melalui Kontrak Perkhidmatan Sewaan Platform Ukur Hidrografi TLDM selama tiga tahun bermula November 2016.

“Kapal sewaan ini telah berjaya mencapai sasaran iaitu beroperasi selama 300 hari setahun pada tahun pertama pelaksanaannya dan telah berupaya melaksanakan pengukuran hidrografi seluas 18,925 kilometer persegi di perairan tertentu.

KD Mutiara merupakan kapal milik TLDM yang kedua dilucutkan tauliah selepas KD Kepah, pada 21 Disember 2016. - Bernama

Tiada ulasan: