Parti Rakyat Malaysia (PRM) mencalonkan bekas Ketua Angkatan Muda
Keadilan (AMK) cabang Kapar, Ahmad Kamarudin untuk mencabar Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam PRK Parlimen Port Dickson.
Ia pencalonan kedua Ahmad oleh PRM selepas namanya juga diumumkan
pada PRK DUN Sungai Kandis, namun menarik diri pada saat-saat akhir
sebelum penamaan calon.
Pengerusi Jawatankuasa PRK Parlimen Port Dickson PRM, Koh Swe Yong
mengumumkan pencalonan Ahmad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur,
pada Khamis.
Ditanya sama ada ‘gimik’ sama bakal berulang, Ahmad yang turut hadir
dalam sidang akhbar itu dengan yakin memberitahu beliau komited untuk
menentang Anwar yang merupakan bekas ketuanya semasa di dalam PKR.
Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)bertanding menentang Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit
Antarabangsa.
Beliau bagaimanapun hanya menerima 116 undi.
Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya mengingatkan PKR supaya tidak
memperlekehkan kewibawaan PRM walaupun parti itu tidak lama aktif dalam
arena politik tempatan.
Ahli biasa PRM itu menganggap tiga calon Bebas yang merancang
bertanding di Port Dickson bukan ancaman, termasuk PAS, mahu berdepan
PKR satu lawan satu bagi mempersoalkan ideologi rakyat dan ‘panji panji’
merah dan perkataan ‘rakyat’ yang ‘diseludup’ PKR.
“Ingat wahai Anwar, jangan memperlekeh kami (PRM), warna merah yang
merupakan panji panji kami adalah milik PRM dan begitu juga perkataan
rakyat yang digunakan PKR sehingga kini.
“Kami masih aktif dan berdepan kamu untuk menuntut hak panji panji kami semula dan tidak gentar berdepan Anwar,” katanya.
Rakyat diminta menilai sendiri sikap pemimpin UMNO yang keluar parti
ini selepas tidak lagi menjadi kerajaan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum
ke-14).
Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri mendakwa pemimpin
seperti ini ‘berangan’ untuk mendapat jawatan dalam Pakatan Harapan (PH)
selepas UMNO tidak lagi mampu memberi habuan yang mereka inginkan.
“Yang mahu pergi biarkan mereka pergi. Yang tinggal teruskanlah
perjuangan. Saya yakin UMNO masih kuat. Saya anggap ini ujian dari Allah
kepada UMNO.
“Kita bina semula kekuatan dan saya yakin UMNO mampu bangkit semula,” katanya kepada Watan Online pada Khamis.
Bahri berkata, pada suatu hari beliau yakin pemimpin UMNO yang keluar
ketika parti ini jatuh akan menyesal dengan tindakan mereka itu.
“Saya juga yakin mereka akan kembali semula kepada UMNO. Saya juga yakin mereka ini tidak akan diterima dalam PH,” katanya.
Sebelum ini Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli
Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman telah meninggalkan UMNO.
Turut berbuat demikian ialah veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar
dan bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi
Ghazali; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul
Fasal.
KUALA LUMPUR – Senarai perisytiharan harta anggota kabinet dan
anggota Parlimen yang sepatutnya dipaparkan di portal Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Okt ini ditunda ke 15 Oktober.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata
penangguhan itu dibuat memandangkan semua anggota kabinet dan
anggota Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka.
“Sepatutnya 1 Okt ini tapi kita tangguhkan dua minggu kepada 15 Okt
untuk semua anggota kabinet dan parlimen untuk isytiharkan harta mereka.
“Senarai harta ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr
Mahathir Mohamad) dan pihak SPRM sebelum kita siarkan di Portal SPRM,”
katanya kepada pemberita selepas majlis deklarasi dan menandatangani
ikrar bebas rasuah ketua-ketua jabatan Pertubuhan Berita Nasional
Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini perisytiharan harta tidak melibatkan anggota
dewan undangan negeri (Adun) dan kepimpinan di peringkat negeri.— BERNAMA
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bertanggungjawab terhadap
portflio Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Kabinet bayangan yang
dibentuk parti itu bersama Barisan Nasional (BN).
Turut sama berperanan memantau portfolio itu dalam Kabinet bayangan
berkenaan ialah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang
memaklumkan Kabinet bayangan itu menggunakan sistem Jawatankuasa
Portfolio (JKP) bagi memantau setiap kementerian dalam kerajaan Pakatan
Harapan (PH).
“JKP ini berperanan sebagai semak dan imbang bagi setiap kementerian
dan ia juga sebagai pemantau dasar serta menggubal dasar alternatif bagi
menyaingi dasar kerajaan.
“Semua JKP terbabit dalam menggubal belanjawan alternatif yang
diketuai oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin,” katanya pada
sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Selain itu, Datuk Seri Shahidan Kassim akan memantau portfolis
Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein (pertahanan);
Khairy Jamaluddin dan Arthur Joseph Kurup (kewangan); manakala portfolio
hal ehwal ekonomi akan dipantau Datuk Seri Hasan Arifin.
Sementara itu Annuar berkata, UMNO mengalu-alukan pembabitan
mana-mana parti dalam blok pembangkang termasuk PAS untuk menganggotai
JKP.
“Kita sudah menyampaikan perkara ini kepada semua parti pembangkang
yang lain sekiranya mereka berminat untuk menganggotai jawatankuasa
ini,” katanya.
Ditanya kenapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak
tersenarai dalam JKP, Annuar berkata ahli Parlimen Pekan itu sendiri
tidak mahu namanya disenaraikan.
Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
menyifatkan penahannya sebagai sebuah harga yang perlu dibayar demi
perjuangan UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Baling itu berkata, beliau mungkin tidak akan
berbaju lokap dan bergari sekiranya meninggalkan UMNO minggu lepas.
Abdul Azeez berkata, meskipun ‘ditekan’, beliau sama sekali tidak
akan berganjak daripada perjuangannya dan tidak akan meninggalkan UMNO
meskipun terpaksa ke penjara.
“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan. Jika
saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya
begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini.
“Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang,
hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan
parti keramat UMNO ini,” kata Abdul Azeez di perkarangan mahkamah pada
Rabu.
Kata-kata itu dimuatnaik di Facebook oleh pentadbir media sosial Ahli Parlimen Baling itu pada Khamis.
Abdul Azeez menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga yang perlu dibayar untuk sebuah
perjuangan
Beliau, abangnya dan sepupu ditahan reman selama empat hari oleh
Mahkamah Majistret Putarjaya. Ketiga-tiga mereka tiba pada pukul 10.30
pagi Rabu, dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan
digari.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan dalam
pelbagai kes rasuah termasuk projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji)
mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001
(AMLATFA).
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad membuat
kejutan apabila menyatakan hasrat untuk menentang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Beliau ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan
mengulas lanjut dan memaklumkan satu sidang media khas akan diadakan.
Bekas Pengerusi FELDA berkata, keputusan itu dibuat susulan kerusi
berkenaan dikosongkan selain tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN)
tidak meletakkan calon.
Isa berkata sebagai anak tempatan, beliau berasa terpanggil untuk menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat Port Dickson.
“Saya pun orang Port Dickson jadi saya bertandinglah di tempat saya.
“Tunggu penjelasan lanjut mengenainya dalam sidang media khas nanti,” katanya pada Rabu.
PRK Port Dickson diadakan berikutan penyandang kerusi berkenaan,
Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi terbabit bagi
memberi laluan untuk Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Sementara itu Isa ketika ditanya tentang kedudukannya dalam UMNO
berhubung keputusan diambilnya itu, beliau menyerahkan kepada pucuk
pimpinan parti untuk menentukannya.
Pengarah
tersohor tanahair Muhammad Murali Abdullah,50, tidak lagi berselindung
untuk memberitahu bahawa dirinya kini menyertai Parti AMANAH Negara
(AMANAH).
Dalam status dimuat naik di laman facebooknya beliau memaparkan resit pembayaran menyertai parti itu semalam.
Beliau berkata: “Hari ini resminya saya ahli AMANAH…jadi kepada
cybertrooper dan pembangkang tegar saya, bolehlah anda semua hentam saya
sekarang,” ujarnya.
Sambung beliau lagi,”Kepada yang sayangi saya… bersyukurlah dan
berilah segala pujian anda kepada Allah.. Saya masuk parti AMANAH kerana
Allah,” luahnya.
Murali antara pengarah yang banyak mengangkat tema keislaman dalam karyanya terutama dalam terbitan drama tempatan.
Beliau pernah dianugerahkan trofi Pengarah Terbaik Drama Anugerah
Skrin (ASK) 2010 dan majlis ASK 2008 melalui drama Suara Saleha.
Melihat kepada komentar netizen kebanyakannya menyokong keputusan
dibuat Murali yang memeluk Islam pada 1997 itu untuk menyertai AMANAH
yang baru tiga tahun ditubuhkan.
Mohd
Yusof Rohani (kanan) tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka
apa yang dilakukannya selama ini mendapat perhatian seorang pemimpin.
Ahli Parlimen Sepang Mohamad Hanipa Maidin mengharapkan lebih ramai
rakyat Malaysia menjadi ‘wira tidak didendang’ dalam urusan kebajikan
dan kemanusiaan di negara ini.
“Saya berkesempatan meluangkan masa menziarahi “wira yang tak
didendang” Encik Mohd Yusof Rohani di rumah beliau di Teluk Intan,
Perak.
“Hati saya tersentuh di atas penat lelah dan keperihatinan serta
sifat perikemanusiaan beliau membantu rakan bukan muslim yang mana dalam
keadaan berkerusi roda kerana menghidap sakit kencing manis.
“Wira yang tak didendang ini telah membantu rakannya sejak 18 tahun
lalu, dan ini membuatkan beliau begitu istimewa di mata saya,” ujar
Hanipa di laman facebooknya.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Mohd Yusof Rohani seorang
‘boilerman’ di sebuah kilang kelapa sawit di Langkap, Perak yang telah
mengorbankan tenaga dan wang ringgit untuk membantu rakannya Orang
Kurang Upaya (OKU) R.Doraisamy yang kehilangan penglihatan disebabkan
menghidapi diabetis sejak 16 tahun lalu.
Mohd Yusof,48, adalah penerima Anugerah Star Golden Award Gamuda pada
2016 sebuah anugerah yang diberikan untuk meraikan rakyat Malaysia yang
jujur dan menjadi wira kepada masyarakatnya, selain menjalinkan
keharmonian dan perpaduan antara kaum di negara ini.
Mohamad Hanipa Maidin bersama ahli keluarga Mohd Yusof Rohani di rumahnya di Teluk Intan.
Hanipa yang juga Ahli Jawatakuasa Tertinggi AMANAH berkata, kisah
yang pernah dilaporkan oleh akhbar The Star pada 2016 itu, telah menarik
perhatiannya dan pernah dikongsi bersama di ruangan Facebook nya
sebelum ini sebelum beliau berkesempatan mengunjungi Mohd Yusof.
“Saya sangat berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengikut jejak
langkah beliau iaitu amal kebajikan dan kemanusian. Usaha beliau perlu
diangkat dan menjadi ikutan ramai.
“Saya percaya serta yakin dalam kehidupan kita, banyak cara untuk
kita hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Dan En Yusof telah
menunjukan satu contoh tauladan yang mulia.
“Tahniah En Yusof anda sememangnya wira tak didendang di hati saya.” ujar timbalan menteri undang-undang ini.
PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah
keluar daripada UMNO untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.
Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan
mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti
kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional
(BN) tidak bertanding.
“Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin
senior mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak
bertanya dengan dia untuk saya bertanding,” katanya pada sidang media di
sini, malam tadi.
“Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya
serah kepada mereka untuk menilai,” katanya bekas Ketua UMNO Bahagian
Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai
mana-mana parti selepas ini.
Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini
bertujuan memeriahkan suasana, Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen
Jempol berkata ia bukan niatnya.—Bernama
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan
kira-kira 15 sindiket penyeludupan manusia melibatkan segelintir pegawai
imigresen.
Menurut sumber SPRM, pegawai terbabit membantu penduduk tempatan dan
warga asing termasuk penjenayah yang dikehendaki keluar masuk melalui
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang
antarabangsa lain di negara ini.
“Kira-kira 200 individu telah ‘diseludup’ ke negara ini setiap bulan oleh sindiket-sindiket ini.
“Kehadiran sindiket dan saluran haram itu satu ancaman serius terhadap
keselamatan negara kerana pengganas boleh mendapatkan perkhidmatan
sedemikian dari sindiket-sindiket ini,” menurut sumber.
Menurut sumber lagi, pegawai imigresen terbabit akan bertugas di
kaunter di lapangan terbang untuk membolehkan individu yang disenarai
hitam itu melepasi tapisan keselamatan.
KUALA LUMPUR- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau
tidak gentar dengan serangan minoriti ‘super liberal’ terhadapnya.
Katanya, serangan mereka tidak membuatkan dirinya takut untuk
mempertahankan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.
"Suasana politik Malaysia berubah, media lebih bebas...orang boleh
menyuarakan dan mencabar berapa prinsip yang telah kita anggap utuh dan
utama sebelum ini.
"Saya tidak fikir kita harus minta maaf serta lemah, kita harus faham
kita masih terikat dengan prinsip perlembagaan dan kita juga wakili
suara majoriti , saya sebut perkara ini kerana minggu-minggu terakhir
ini saya diserang hebat daripada kalangan super liberal," katanya
Beliau berkata demikian dalam majlis Wacana dan Pelancaran buku
tulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan di Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia (ITBM), di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau juga tidak menganggap serangan berkenaan sesuatu masalah besar kepadanya.
"Saya tahu bahawa negara ini tertegak atas beberapa prinsip utama yang
disepakati dalam perlembagaan ini termasuk soal bahasa, soal hak
istimewa (orang Melayu) Islam agama persekutuan dan kedudukan raja-raja
Melayu, kita sekarang perlukan sikap tegas agar tidak tergelincir
daripada landasan kita," katanya.
Meskipun tidak menyebut secara spesifik golongan super liberal yang
dirujuk Anwar adalah golongan yang mencabar kedudukan perlembagaan
antaranya kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja
Melayu dan mereka yang mempromosi gaya hidup LGBT.
Pusat tahfiz yang belum berdaftar, eloklah daftar segera dengan pihak berkuasa.
Patuhilah semua syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa keselamatan, perbandaran dan pendidikan.
Jika tak mampu patuhi semua syarat, maksudnya pusat tahfiz berkenaan
tidak layak untuk terus beroperasi sebagai pusat pengajian.
Ibu
bapa yang mahu anak-anak mereka hafaz al-Quran boleh hantar ke pusat
tahfiz kerajaan atau pusat tahfiz swasta yang sudah berdaftar.
Isunya bukan anti pusat tahfiz, tapi isunya ialah pusat tahfiz perlu berdaftar untuk memudahkan pemantauan dan kawalan.
Jika tak mampu penuhi syarat dan tak berdaftar, eloklah ditutup supaya pelajar tidak tercicir masa depannya.
Walaupun namanya pusat tahfiz, berlabel agama, tak bermakna ia boleh beroperasi sesuka hati.
Masjid, surau, sekolah agama yang lain semuanya perlu berdaftar, kenapa pusat tahfiz mengelak untuk berdaftar?
Ada orang kaitkan dengan kedai arak, kenapa tak tutup kedai arak? Kalau
kedai arak beroperasi secara haram, memang akan ditutup.
Di Kelantan juga ada kedai arak, tapi tak ditutup sebab beroperasi secara sah menurut peraturan undang-undang.
Minum arak memang haram, tapi operasi kedai jual arak yang haram minum itu sah dari sudut undang-undang.
Babi juga haram dimakan tapi pasar jual babi yang haram dimakan itu beroperasi secara sah.
Pusat jual arak dan jual babi yang sah beroperasi mengikut
undang-undang tak perlu ditutup, tetapi berada dalam pemantauan supaya
patuhi peraturan.
Usahlah jual agama untuk mengelak daripada
tertakluk dengan undang-undang kerana patuh kepada undang-undang juga
sebahagian daripada tuntutan beragama.
Bekas calon BN di Permatang Pauh, Mazlan Ismail hari ini memohon maaf
kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada sidang
akhbar, lima tahun lalu.
Mazlan yang meletak jawatan sebagai ketua pegawai operasi,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jun lalu
pernah mengaitkan Anwar dengan rasuah serta menuduhnya menyogok badan
kehakiman melalui firma guaman mendiang Karpal Singh.
Dalam kenyataannya di mahkamah terbuka hari ini, Mazlan melahirkan
rasa kesal kerana mengadakan sidang akhbar itu tanpa mengesahkan dakwaan
yang dibuat.
"Saya mengakui kenyataan itu dibuat tanpa sebarang bukti konkrit, dan
saya menyatakan kesal atas kenyataan itu yang mungkin menjejaskan
kedudukan Anwar," katanya.
Selepas membaca kenyataan itu, Mazlan bersalaman dengan Anwar.
Penyelesaian tersebut dirakamkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin.
Anwar memfailkan saman itu pada 15 Okt 2015, mendakwa Mazlan telah
mengadakan sidang media dan pada ketika itu mengeluarkan perkataan
memfitnah berkenaan yang kemudian disiarkan TV3 melalui Buletin Utama pada 2 Ogos, 2013 dan disiarkan oleh Utusan Melayu melalui akhbar Utusan Malaysia pada keesokannya.
Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah
terhadapnya dalam sidang media, yang membawa maksud beliau seorang tidak
beretika, rasuah, tidak amanah dan tidak bermoral.
Beliau memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi untuk menghalang
defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula perkataan memfitnah
itu.
Mazlan merupakan bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Walau bagaimanapun, saman Anwar terhadap TV3 dan Utusan Malaysia masih menunggu penyelesaian kerana kedua-dua syarikat media itu sedang dalam proses meminda pernyataan masing-masing.
Faizah kemudian menetapkan 12 Oktober ini untuk TV3 dan Utusan memuktamadkan pernyataan mereka.
Menikmati kesedapan ikan patin Temerloh dengan luahan pedas daripada
kritikan rakan lama tentang AMANAH adalah pakej perjalanan yang menarik
hujung minggu lalu.
Sungai Pahang mengalir perlahan-lahan.
Perbincangan kami berkisar soal politik semasa. Setelah itu, saya
'berundur' dengan mengelak diri untuk berkhilaf hingga boleh menjejas
silaturrahim.
Seminggu selepas 16 September, AMANAH mengadakan perayaan sempena
tiga tahun penubuhannya. Ada banyak sebab AMANAH meraikan ulang tahunnya
di Temerloh.
Pertama, Temerloh ialah kawasan parlimen yang diwakili oleh Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir.
Kedua, faktor geografi yang terletak di titik tengah Semanjung Malaysia.
Ketiga, mengambil semangat sejarah Temerloh yang sarat dengan
perlawanan ke atas sang penguasa. Itu kemungkinan yang terbayang dalam
fikiran saya saat menghirup kuah ikan patin yang pedas.
Baca gelagat orang
Hentian seterus saya adalah Kuala Terengganu, tuan rumah Muktamar PAS
kali-64 hujung minggu lalu. Pertama kali saya menghadiri muktamar PAS
di sini ialah pada 1987.
Pada tahun itu ia menyaksikan perwakilan Pemuda PAS mengkritik
pimpinan mereka berhubung pendekatan politik yang diambil parti pada PRU
ketujuh yang diadakan setahun sebelumnya.
Nakhaie Ahmad meletak jawatan sebagai ketua penerangan PAS Pusat.
Pada ucapan penangguhan di muktamar itu, Ustaz Fadzil Noor yang
berucap bagi mewakili Yusuf Rawa yang sepatutnya berucap. Subky Latif -
veteran parti - ada merakam kisah itu dalam tulisannya.
Berhenti di Rusila untuk menikmati lempeng panas dan secangkir teh panas.
Kampong Rusila sinonim dengan PAS.
Sambil menikmati hembusan angin dari Laut Cina Selatan, mata saya membaca gelagat para pelanggan yang berkunjung.
Mudah untuk saya menelah siapa mereka. Ahli dan penyokong PAS amat
mudah dikenali melalui pakaian mereka, dan jika bernasib baik melalui
perbualan sesama mereka.
Pemilihan istilah kata dan subjeknya stereotaip dan tipikal.
Ada anak-anak muda berkopiah putih dan berbaju T dengan lambang bulan
atau ada lambang Jabatan Amal tidak jauh dari meja kami. Sesetengah
mereka datang secara berkeluarga dan berkawan. Ukhwah sungguh.
Secara lahiriah tiada perubahan berlaku pada PAS dan juga Umno. Hijau
dan merah kekal berbeza. Kopiah tidak akan menukar songkok atau
sebaliknya.
Jubah muslimah PAS tidak akan berubah pada kebaya atau kebarung Puteri Umno.
Naratif PAS dan Umno menjurus pada persoalan Melayu-Islam sebagai
agenda dalam retorika politik mereka sejak dulu lagi. Masing-masing
memiliki hujah yang memperkukuhkan keikhlasan perjuangan mereka.
Biarpun berpuluh-puluh tahun perseteruan politik di antara mereka, perkembangan terkini sudah berubah.
Umno datang melutut
Parti politik jarang mengaku kalah atau mengaku salah bagi
membenarkan musuh politiknya meraikan kemenangan. Masing-masing akan
mencari hujah bagi menghalalkan langkah yang mereka ambil.
Beruntunglah parti atau pimpinan yang memiliki anggota dan pengikut
yang memiliki ketaatan kental. Musuh politik mereka pula menyebutkan
ketaatan itu sebagai taasub.
Apabila hasrat yang dilontarkan oleh kedua-dua pihak dilihat selari,
maka nilai diri juga akan berubah. Semua pihak yang berkaitan mula
mengubah suai kedudukan bagi yang berdiri sama tinggi, yang duduk sama
rendah.
Itu lumrah berpolitik sama ada politik di sebelah sana atau politik di sebelah sini.
PAS sebagai sebuah parti Islam berasa bertanggungjawab memperbetulkan kesesatan yang dilalui Umno berkurun lalu.
PAS sebagai sebuah parti Islam yang kuat berasa izzah apabila Umno yang sekian lamanya menzalimi mereka, kini datang melutut.
Inilah waktu untuk Islam didaulatkan. Allah SWT sudah tunjukkan di dunia lagi - itulah kata sesetengah orang.
Ucapan presiden PAS sekarang pun sudah bernuansa nasionalistik.
Penekanan sebegini agak pelik jika disemak teks-teks ucapan dasar
presiden 10 atau 20 tahun lalu.
Firman dan hadis tetap diselitkan dalam ucapannya. Pantun seloka
tidak saja diungkap oleh pengerusi tetap, presiden parti pun bijak
berpantun.
Bertanjak, bersampin dan berkeris bukan sekadar gaya kelainan dalam
penampilan pada umum. Ia adalah suatu simbol yang mudah dibaca.
Saya menghirup teh panas di Hentian Puncak Titiwangsa untuk
merehatkan diri yang penat bermusafir dan berfikir. Pada hujung kembara,
pandangan jauh saya lontarkan pada sekumpulan anak muda berkopiah itu.
Saya berbisik, ada Umno pada wajah mereka!
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan penulis buku serta esei.
KUALA LUMPUR — Kementerian Wilayah memberi tempoh sehingga 31
Disember ini kepada pusat-pusat tahfiz yang beroperasi di sekitar ibu
negara untuk mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata langkah mewajibkan
semua pusat tahfiz didaftarkan adalah untuk memastikan keselamatan,
kebajikan dan pembelajaran pelajar-pelajar tahfiz berada dalam keadaan
baik.
“Laporan
sesetengah media yang pusat-pusat tahfiz di Kuala Lumpur tidak
berdaftar akan segera ditutup adalah tidak tepat dan salah lapor.
“Dalam usaha pendaftaran ini, Kementerian Wilayah akan
bekerjasama dengan Jawi untuk mendaftarkan semua pusat tahfiz ini,”
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khalid
berkata, DBKL dengan kerjasama Bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)
akan memeriksa keadaan fizikal pusat-pusat tahfiz untuk memenuhi
keperluan minimum dari segi keselamatan dan keselesaan, manakala Jawi
pula melihat aspek kurikulum dan pembelajaran pelajar.
Katanya, kementerian akan mempertimbangkan sokongan yang
sewajarnya bagi membantu pusat-pusat tahfiz yang gagal memenuhi
keperluan keselamatan dan keselesaan sebelum didaftarkan bagi kebaikan
pelajar.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr
Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata pusat tahfiz di Kepong yang
pengetuanya didakwa terbabit dalam kes meliwat sembilan pelajarnya
tidak mendapat kelulusan Jawi kerana gagal mengemukakan laporan Bomba
dan DBKL. — Bernama
Timbalan
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, beliau mencadangkan agar
pemimpin Pas untuk masuk Umno.
“Saya rasa pelik kenapa orang Pas nak berbaik bersama Umno tetapi tidak mahu masuk Umno.
“Ianya mengelirukan penyokong di bawah kerana apabila ditanya mereka
nafikan tiada kerjasama dan hanya seperfahaman sahaja,” katanya pada
sidang media semasa pelancaran porgram tersebut di Sunway Hotel hari
ini.
Datuk Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu
itu,berkata, ianya satu teka teki yang menyusahkan pengikut kepada
kedua-dua parti tersebut.
“Jadi kalau Pas nak tolong Umno, sekarang ni ramai orang Umno keluar,
jadi masuklah ke dalam Pas, beri beberapa pemimpinnya untuk bantu Umno.
Saya rasa itu cara yang terbaik untuk membuktikan mereka ini
betul-betul mahu bekerjasama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media selepas merasmikan
persidangan lima hari , International Tropical Arboriculture Conference
Kuala Lumpur 2018 (INTAC KL 2018) yang bermula pada 25 sehingga 27
September ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa parti AMANAH sedia membuka
pintu untuk pemimpin-pemimpin Umno yang keluar parti berkenaan.
“Kita terbuka, jika ada pemimpin-pemimpin Umno kalau betul-betul
sedar bahawasanya Umno tidak boleh lagi meneruskan perjuangan untuk
negara, saya rasa tiada masalah,” katanya.
Jelasnya, AMANAH tidak akan menutup pintu sepenuhnya tetapi lihat
pada situasi, kalau nak nampak keikhlasan dan kesungguhan, insyaAllah
tiada masalah,katanya.
Isteri
bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan
hampir 13 jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) di sini, hari ini.
Rosmah yang menaiki kereta Proton Perdana warna hitam tiba pada jam
9.50 pagi tadi dan kelihatan beredar pada jam 10.40 malam setelah
selesai memberi keterangan bagi membantu siasatan kes 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Beliau kelihatan tenang ketika diserbu puluhan wartawan tempatan dan
antarabangsa yang berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30
pagi untuk membuat liputan kes itu.
“I‘m ok. Alhamdullilah,” katanya sambil senyum kepada media, lapor Bernama.
Difahamkan SPRM membenarkan Rosmah berhenti memberi keterangan pada 6.30 petang tadi dan sambung memberi keterangan esok.
Namun, beliau memilih untuk sambung memberi keterangan.
Turut kelihatan di perkarangan Ibu Pejabat SPRM adalah peguam kepada Rosmah, Datuk K. Kumaraendran.
“Rosmah telah selesai memberi keterangan dan tidak perlu hadir ke SPRM esok,” kata Kumaraendran.
Ini merupakan kali kedua Rosmah hadir di sini untuk memberi
keterangan kepada SPRM dengan kali pertama pada 5 Jun lalu di mana
beliau disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan terhadap
syarikat subsidiari, 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Semalam, pegawai SPRM telah pergi ke rumah Rosmah di Taman Duta,
Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, bagi memberi notis perintah hadir
kepada Rosmah untuk diambil keterangan kes itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20
pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.
Pada Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Oprasi) SPRM, Datuk
Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan
didakwa dalam masa terdekat.
Kerajaan Negeri Selangor akan
bertindak tegas untuk membatalkan lesen dan menutup mana-mana premis
yang menjual minuman keras secara haram kata Pengerusi Jawatankuasa
Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru
negeri, Ng Sze Han.
Menurutnya, pihaknya telah
mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor meningkatkan
operasi terhadap premis menjual minuman keras terutama di kawasan
tumpuan warga asing.
“Usaha pemeriksaan ini sememangnya
selalu diadakan, tetapi berikutan kejadian keracunan alkohol kerana
meminum arak haram baru-baru ini, saya mengarahkan semua PBT menjalankan
pemeriksaan lebih kerap lagi.
“Kami tidak akan teragak-agak
membatalkan lesen dan mengarah tutup mana-mana premis perniagaan seperti
kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam yang didapati menjual arak
haram kepada pengguna,” katanya lapor Bernama baru-baru ini.
Justeru, satu perjumpaan dengan yang dipertua semua 12 PBT di Selangor telah diadakan bagi membincang perkara tersebut jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas
insiden kematian lebih 30 orang terdiri daripada warga asing dan
tempatan meninggal dunia, manakala berpuluh lagi dirawat di hospital
sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan.
Mangsa yang meninggal dunia
membabitkan dua rakyat Malaysia, dua Bangladesh, lapan warganegara
Nepal, 10 warga Myanmar, seorang warga India dan seorang individu yang
tidak diketahui identitinya. – Roketkini.com
Empat parti komponen Pakatan Harapan
perlu menyelesaikan perbezaan, konflik dan percanggahan antara mereka
bagi memastikan matlamat “Malaysia Baharu” dapat dicapai dan tidak
diganggu-gugat musuh, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.
Menurut beliau, ia harus ditangani
dalam kerangka pemikiran yang positif bagi memastikan PH dapat
meneruskan agenda memperbaiki semula dasar pembinaan Malaysia dan
menjadikan ia sebuah negara ulung bertaraf antarabangsa.
“Kita tidak harus mengabaikan dan
tidak mengambil kira perbezaan, konflik dan percangahan antara
parti-parti dalam Pakatan Harapan dan dalam parti itu sendiri, kerana
keempat-empat parti politik yang membentuk Pakatan Harapan mempunyai
sejarahnya yang berbeza dan matlamat politik yang berlainan.
“Namun kita harus bersatu dalam satu
usaha yang bersepadu dan sama untuk Menyelamatkan Malaysia daripada
trajektori negara gagal, demokrasi penyangak, kakistokrasi dan
kleptokrasi global,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Kit Siang, jika penyelesaian
dapat dicapai antara keempat-empat parti PH, maka segala serangan
cybertrooper dan strategis Umno-BN tidak akan berkesan.
“Dalam konteks berkenaan, walaupun
apa jua helah dan muslihat strategis dan cybertrooper Umno-BN, saya
tidak menjangkakan sebarang masalah terhadap rancangan Pakatan Harapan
untuk melantik masing-masing Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh dan kelapan,”
katanya.
Setakat ini, katanya lagi, usaha
pembangkang untuk memecahbelahkan parti kerajaan sebelum Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU15) menemui jalan buntu ekoran terpaksa menghadapi
perpecahan dalam parti mereka sendiri.
“Umno nampak terlebih dahulu retak
apabila lima ahli Parlimenya keluar parti, disusuli dua lagi bekas
menteri kanan Umno, menjadikan Umno kini mempunyai 49 ahli Parlimen di
Dewan Rakyat,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak keluar Umno minggu lalu.
Mustapa berkata beliau keluar Umno
kerana menganggap hala tuju parti itu kini tidak selari dengan prinsip
politik yang menjadi pegangannya.
“Dan (hala tuju parti) tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya.
Malah pemimpin Umno Kelantan itu
menegaskan Umno seharusnya menjadi parti yang “inklusif, moderat dan
berhaluan tengah” tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.
“Inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.” – Roketkini.com
Himpunan Pertahanan Institusi Diraja di hadapan pintu C Istana Negara.
KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull diminta mengingat kembali
ucapan beliau ketika majlis perpisahan pada 2016.
Bekas Presiden Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Zamil Ibrahim berkata,
Mohd Shukri ketika itu meminta anggota SPRM agar menjalankan tugas
dengan baik kerana bakal disoal di akhirat.
Zamil mempersoalkan, adakah tindakan Mohd Shukri hari ini tidak akan
ditanya di akhirat kerana berat sebelah dalam membuat keputusan.
“Kita minta Yang di-Pertuan Agong kaji semula pelantikan Mohd Shukri. Maaf saya cakap tindakan beliau sekarang macam pengecut.
"Beliau gagal jalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, nampak
macam nak menekan pemimpin BN sahaja,” soalnya berucap dalam Himpunan
Pertahanan Institusi Diraja di hadapan pintu C Istana Negara, di sini,
malam ini.
Beliau turut mencabar Mohd Shukri supaya membuka semula fail laporan
daripada pemimpin PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kekayaan
keluarga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sila korek balik, kalau hanya fokus kepada BN sahaja kamu bacul. Kami beri 48 jam masa kepada kamu,” katanya.
Badan Perhubungan Umno Pahang akan membentangkan beberapa usul pada
Perhimpunan Agung Umno 2018 termasuk berhubung cara meraih dan
memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata walaupun
mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, semua
anggota dan pemimpin parti itu tidak seharusnya berputus asa.
"Umno perlu cari jalan bagaimana untuk kembalikan keyakinan rakyat. Masih ramai percaya kepada perjuangan Umno.
"Jadi seharusnya sebagai pemimpin dan anggota parti, kita teruskan
perjuangan yang dilakukan selama ini dan beri perkhidmatan terbaik
khususnya di kawasan dimenangi termasuk di Pahang," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah
mesra bersama rakyat dan pemimpin Maran di Dewan Umno, Pekan Tajau di
Maran hari ini, sempena lawatan kerjanya ke daerah tersebut semalam.
Majlis turut dihadiri ketua Umno bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza
Shamsuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan,
Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri serta
beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (Exco).
Turut menjadi tumpuan kehadiran dua wakil rakyat PAS, Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil dan ADUN Chenor,
Mujibur Rahman Ishak.
Mengulas mengenai perkara itu Wan Rosdy berkata Umno Pahang sentiasa
bersedia bekerjasama dengan pemimpin PAS di negeri ini, dalam sebarang
bentuk yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kerjasama ini subjektif, kehadiran mereka pada majlis saya pun sudah
dikira satu kerjasama, begitu juga jika kita hadir pada kenduri mereka.
"Sekiranya sesuatu usaha dilakukan itu memberi kebaikan kepada
rakyat, kita akan bantulah (bekerjasama) dan mereka pun begitu juga,"
katanya.
Beliau berkata wakil rakyat PAS di Pahang banyak memberi pandangan
bernas yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri semasa persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) dua bulan lepas, dan bukannya menjadi
pembangkang yang membantah membuta tuli.- Bernama
KUALA LUMPUR - Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak
menolak kemungkinan wujud campur tangan oleh pihak-pihak tertentu
menyebabkan beberapa pendakwaan ke atas individu yang kini memegang
jawatan dalam kerajaan di tarik balik.
Mengulas mengenai trend pengguguran kes mahkamah ke atas beberapa
individu oleh mahkamah kebelakangan ini, Ahmad Zahid berkata, rakyat
mengetahui perkara itu bukan salah sistem kehakiman sebaliknya di bawah
arahan pihak tertentu.
Menurut Ahmad Zahid, dalam hal tersebut rakyat menuntut keadilan dan
mencari kebenaran dan mahkamah adalah rujukan terakhir untuk menentukan
keadilan itu diperolehi.
“Mana mungkin tuduhan ditarik sebelum perbicaraan seterusnya dilakukan
ataupun penghapusan terhadap sesuatu tindakan semata-mata mahu
menyelamatkan seseorang kerana seseorang itu telah menjadi penguasa.
“Saya rasa rakyat boleh menilai sendiri dengan apa yang sedang berlaku
sekarang,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.
Zahid berkata beliau tidak menuduh wujudnya campur tangan berkenaan, namun itulah perkara sebenarnya yang berlaku.
Pada masa yang sama, mengenai dakwaan bahawa pertuduhan-pertuduhan yang
sedang dihadapi bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, selain
perkembangan terbaharu hari ini apabila tahanan reman ke atas pemimpin
Umno iaitu Datuk Seri Azeez Rahim hari ini bertujuan melumpuhkan lagi
Umno, Ahmad Zahid menyifatkan perkara tersebut hanyalah sekadar bacaan
politik oleh sesetengah pihak.
“Itu mungkin sekadar bacaan politik. Kita tidak menolak dakwaan bahawa
rule of law (prinsip undang-undang) di negara ini telah disalah gunakan
dan mempunyai objektif politik. Sudah tentu kita mahu prinsip tersebut
dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata pihaknya harapkan apa yang dilakukan
oleh badan dan agensi siasatan yang selama ini profesional akan dapat
meneruskan profesionalisme itu.
“Saya yakin mereka boleh lakukan. Tidak harus ada arahan atau campur
tangan daripada mana-mana pihak di luar jika rule of law ini
diterjemahkan maka tentunya tatacaranya akan dilalukan sepenuhnya.
Bukannya hukuman telah dibuat sebelum pertuduhan dan keputusan mahkamah itu dijatuhkan ke atas seseorang,” katanya.
Pada masa yang sama, ditanya berkaitan perkembangan terkini siasatan ke
atas beliau berhubung dana sebuah yayasan, Ahmad Zahid berkata, perkara
itu terpulang kepada badan penyiasat sama ada dakwaan akan diteruskan
atau sebaliknya.
“Terpulang kepada badan penyiasat. Saya telah memberikan keterangan dan
jika saya mahu dibawa ke muka pengadilan, saya bersedia kerana mereka
mempunyai hak untuk membawa seseorang ke muka pengadilan asalkan tiada
arahan luar,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak supaya reda dengan apa yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Jangan menuduh agensi-agensi berat sebelah ketika mereka melakukan tindakan secara profesional,” katanya.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil langkah proaktif mempromosikan
bidang pelaburan baru dan pengeluaran di tengah-tengah peningkatan
konflik perdagangan global, daripada hanya menandatangani perjanjian
perdagangan yang tidak memberikan kelebihan kepada negara, kata pakar
ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.
Jelasnya, ekonomi global sudah memasuki tempoh ketegangan perdagangan
yang berlarutan disebabkan tumpuan pentadbiran Amerika Syarikat (AS)
terhadap konflik 2 hala.
“Seperti yang diketahui, hanya sedikit pertumbuhan perdagangan dalam
tempoh sedekad. Adalah penting untuk mengenal pasti apabila terdapat
masalah perdagangan, lain kerajaan, lain cara tindakannya dan terdapat
kecenderungan untuk lebih mengutamakan masalah itu sendiri,“ kata Jomo.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang
pengumuman “Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2018: Tenaga, Platform
dan Angan-Angan Perdagangan Bebas oleh persidangan mengenai Perdagangan
dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations
Conference on Trade and Development’s (UNCTAD) “Trade and Development
Report 2018: Power, Platforms and the Free Trade Delusion”) di sini,
semalam.
Menurut laporan berkenaan, ekonomi dunia kekal berada di asas yang
goyah sedekad selepas krisis kewangan 2008, dengan perang perdagangan
menjadi gejala penyakit yang semakin mendalam.
Walaupun ekonomi global mula membuat peningkatan sejak awal 2017,
pertumbuhan berterusan tidak tetap dengan banyak negara beroperasi di
bawah potensi mereka, kata laporan itu dan menambah, bahawa tahun ini
tidak mungkin menyaksikan perubahan kelajuan.
Laporan itu menyatakan, sebarang peningkatan serius ketegangan
perdagangan, iaitu melalui ketidaktentuan yang memuncak dan pengurangan
pelaburan, akan membawa kesan lebih merosakkan dalam jangka sederhana
dan akan menjadi lebih serius terhadap negara yang sedia menghadapi
masalah kewangan.
Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami tekanan hebat
disebabkan perubahan dasar monetari antarabangsa, terutama dengan
aliran keluar dana ke AS apabila ia meningkatkan kadar faedah.
Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah sebanyak 2 kali tahun
ini dan berkemungkinan akan melakukan buat kali ketiga sewaktu mesyuarat
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan pada 25-26 September.
“Pasaran baru muncul akan menjadi lebih terdedah kepada krisis
kewangan, terutama dalam bidang yang mana harga aset melebihi nilai asas
seperti hartanah melebihi nilai asas yang dibiayai oleh hutang.
“Justeru, pihak berkuasa perlu berhemah dan mungkin mengambil
tindakan tidak popular dengan mengurangkan kelemahan kita terhadap
krisis sedemikian,” kata Jomo.
Beliau menekankan perlunya untuk berhemah bagi mengelakkan potensi ke arah kemelesetan.
“Terjadinya krisis kewangan, berkemungkinan daripada punca-punca
luar, akan lebih besar. Apabila kita bertindak melulu dalam menguruskan
ekonomi, kita akan lebih terdedah,” jelasnya.
Jomo juga menyatakan akan perlunya Malaysia berfikir secara
menyeluruh dan membentuk dasar yang bersesuaian dalam mengambil manfaat
daripada ekonomi digital.
“Kita fikir bahawa kita sudah membuat sesuatu yang bijak dengan
memberikan data berharga secara percuma sebagai pertukaran kepada
perkhidmatan diberikan pihak yang memonopoli digital besar. Data ini
digunakan untuk meningkatkan keuntungan pemain-pemain utama.
“Kita seharusnya belajar daripada sekatan yang dikenakan Kesatuan
Eropah terhadap Google dan bagaimana ia mungkin relevan kepada ekonomi
seperti Malaysia,” tambahnya.
WAWANCARA | Di tengah-tengah
jangkaan apa akan diumumkan dalam bajet November ini, Lim Guan Eng
berkata beliau mungkin akan menjadi menteri kewangan paling tidak
popular dalam sejarah negara.
"Ia akan merupakan bajet yang sangat sukar.
"Mungkin saya akan jadi menteri kewangan paling tidak popular kerana saya tidak mempunyai buah tangan untuk diberikan," katanya.
"Jadi kami akan menyaksikan pengorbanan dari rakyat Malaysia yang
sudah biasa untuk mendapatkan buah tangan dan tiba-tiba sekarang tidak
mendapatnya," kata Lim dalam temu bual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya.
Pengorbanan ini perlu, katanya, untuk membantu mengurangkan hutang
negara sebanyak RM1 trilion supaya Malaysia dapat kembali ke landasan
dalam tempoh tiga tahun.
"Anda perlu berkorban jika anda mahu mengurangkan hutang RM1 trilion. Tidak ada jalan lain.
"Buat sedikit pengorbanan, semoga dalam masa tiga tahun Malaysia akan kembali ke landasannya," katanya.
Buat masa ini, katanya, masih belum jelas sama ada kemelesetan global
akan belaku walaupun perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan
China setakat ini memberi manfaat kepada Malaysia.
"Kita sebenarnya telah mendapat minat yang meningkat dari
pelabur"[...] terutamanya kerana Malaysia dilihat sebagai tempat yang
selamat untuk kedua-dua syarikat Amerika dan China," jelas Lim.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa manfaat dari perang
perdagangan itu hanya untuk tempoh jangka pendek dan jika ia berlanjutan
untuk tempoh lebih dua tahuh, Malaysia juga akan terjejas sepertimana
negara-negara lain.
Sejak menjadi menteri kewangan, Lim telah "mendedahkan" banyak kes dakwaan penyalahgunaan dana oleh kerajaan terdahulu.
Antaranya, beliau mendakwa RM19 bilion "dirompak" daripada dana untuk tujuan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan.
GST telah dimansuhkan dan pelaksanaan cukai julan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa bulan ini.
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengharamkan penggunaan beg plastik
secara menyeluruh dan mengantikannya dengan produk biodegradasi (boleh
urai) agar tidak terus mengancam hidupan laut selain ekosistem marin dan
kesihatan manusia, kata aktivis pencinta alam.
Pengarah Eksekutif Pencinta Alam Malaysia I S Shanmugaraj Subramaniam
berkata kerajaan perlu mengharamkan pengunaan plastik dan
menggantikannya dengan produk biodegradasi.
“Penggunaan bungkusan plastik dan polisterin diharamkan oleh kerajaan
tahun lepas, tetapi pengusaha makanan sekarang menggunakan pembungkus
makanan plastik lut sinar.
“Keputusan kerajaan untuk menghentikan penggunaan plastik
‘single use’ atau plastik pakai buang menjelang 2030 adalah tidak wajar
kerana masih menggalakkan masyarakat mengunakan plastik, bukannya
mencari alternatif lain,” katanya kepada FMT.
Kerajaan dilaporkan akan melancarkan pelan hala tuju bagi
menghentikan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030 pada bulan
depan.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Amal Sekitar dan Perubahan Iklim,
Yeoh Bee Yin berkata, hala tuju baru itu akan diumumkan sempena
Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko
(IGEM) di ibu negara.
Beliau berkata, langkah tersebut akan dibuat secara berperingkat menerusi beberapa fasa bermula tahun ini sehingga 2030.
Shanmugaraj berkata, terdapat banyak pengeluar produk biodegradasi di
negara ini tetapi kurang mendapat sambutan daripada penjual berbanding
di luar negara dan mereka terpaksa mengeksport produk tersebut ke negara
lain kerana mendapat permintaan tinggi.
“Dahulu pembungkusan makanan menggunakan ‘teknologi’ lama seperti
daun dan kertas, bukannya plastik. Jika Malaysia mahu mengunakan bahan
boleh diurai seperti dahulu, ia tidak bermakna kita ketinggalan.
“Dengan menggunakan teknologi seperti itu, kita dapat melindungi alam
sekitar daripada terus dimusnahkan demi kelangsungan hidup manusia pada
masa hadapan,” kata beliau.
Katanya lagi, sebagai contoh banyak kuil Hindu menggunakan pinggan
biodegradasi yang diperbuat daripada daun pisang yang dikeringkan. Ia
boleh dibuang tanpa mencemar alam sekitar ataupun dijadikan makanan
haiwan seperti lembu selepas digunakan.
SEREMBAN – Stevie Chan Keng Leong, yang menyatakan hasrat untuk
bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port
Dickson mengemukakan empat tawaran kepada pengundi
dalam manifestonya hari ini.
Chan, 51, seorang personaliti media sosial dalam kenyataannya
berkata empat tawaran itu ialah memastikan perancangan untuk pengenalan
sistem pengangkutan awam dalam bentuk perkhidmatan bas yang selesa,
murah dan boleh diharap menghubungkan Kuala Lumpur dan Port Dickson
dilaksanakan dan menangani isu jenayah di Port Dickson terutamanya
kecurian.
Dua lagi tawaran ialah bekerja rapat dengan kerajaan tempatan dan
kerajaan pusat untuk memastikan kebersihan Port Dickson terjaga
serta berpindah ke Port Dickson dan menjadi wakil rakyat sepenuh masa.
Selain itu, Chan berkata beliau juga akan mengusulkan supaya golongan
isi rumah 20 peratus termiskin mendapat bantuan tunai bulanan,
mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Khas untuk pendidikan,
pengurangan kemiskinan, Orang Asli, seni dan kebudayaan.
“Saya akui bahawa ada usul-usul saya mungkin sukar untuk dilaksanakan
tetapi sebagai wakil bebas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk
sekurang-kurangnya membawa perbincangan ini ke peringkat nasional,”
katanya.
PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa
pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu dua
parti politik dan seorang lagi individu perseorangan, selain Chan
untuk mengambil bahagian.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk
Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk
membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding
jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi
kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon
BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen
Port Dickson pada 13 Okt dan hari penamaan calon pada Sabtu ini (29
Sept) manakala hari pengundian awal pada 9 Okt.
Parlimen Port Dickson mempunyai 75, 770 pengundi dengan 68,486
orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih
tidak hadir luar negara.— BERNAMA
Pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menafikan
beliau adalah individu dalam gambar tular yang yang menunjukkan seorang
lelaki minum arak dan berpoya-poya.
“Bukan saya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Art Harun kepada The Star.
Gambar-gambar itu menunjukkan individu mirip Azhar minum arak dan bercumbu dengan seorang wanita.
The Star berkata carian Google terhadap gambar itu mendapati membawa ke beberapa laman di Indonesia.
Menurut Facebook RPS 2019, individu dalam gambar itu dikenali sebagai seorang ustaz Indonesia bernama Abu Janda al-Boliwudi.
“Ia menyebut Facebook peribadi Abu Janda telah digodam dan album foto
peribadi, yang ditetapkan untuk tatapan peribadi sahaja, telah diakses
secara terbuka,” menurut laporan itu.
Kerajaan mengumumkan pelantikan peguam veteran 56 tahun itu pada 21 September lalu.
LANGKAH Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) mahu menutup semua pusat tahfiz haram di Kuala
Lumpur atas alasan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin perlu
dibahaskan secara terperinci dan menyeluruh. Ini kerana jika tindakan
itu dibuat, dikhuatiri akan merencatkan perkembangan pendidikan tahfiz.
Meskipun
langkah DBKL itu dilihat positif kerana ia bertujuan mencegah dari
kejadian tidak diingini seperti kebakaran, kemalangan, jenayah dan
lain-lain, namun dari aspek lain pula ia mewujudkan birokrasi dalam
pembelajaran agama.
Kenyataan YB Khalid Samad, Menteri
Wilayah Persekutuan itu adalah bertitik tolak daripada kes seorang
pengetua pusat Tahfiz yang didakwa atas melakukan kesalahan liwat
terhadap sembilan orang pelajarnya di Kepong baru-baru ini. Langkah yang
dicadangkan tidak mampu menyelesaikan permasalahan sebenar yang timbul.
Realitinya, kes jenayah seksual seperti
liwat, rogol, zina, cabul dan lain-lain kerap kali juga berlaku di
sekolah-sekolah yang lain. Sekolah asrama penuh, sekolah harian, sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan lain-lain tidak terkecuali
dalam merekodkan kes seumpama ini. Ini bukan bermakna kita bersetuju
dengan apa yang berlaku di pusat tahfiz di Kepong terbabit, tetapi
memfokuskan hanya pada pusat-pusat tahfiz untuk diambil tindakan tegas
juga adalah suatu tindakan keterlaluan.
Isu sebenarnya adalah keruntuhan akhlak
moral dan harga diri yang melanda masyarakat. Statistik Polis Diraja
Malaysia (PDRM) tahun 2016 merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual
terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini. Ia dipecahkan mengikut kes
iaitu 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul
kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun
bagi tempoh 2015 dan 2016.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat
pula menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak
direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes
setahun.
Angka ini menjadi sebab jenayah seksual
terhadap kanak-kanak adalah wabak yang membimbangkan negara. Jika
sekolah tahfiz yang mengajar didikan agama secara langsung juga gagal
mengekang golongan yang bertuhankan syaitan dan nafsu dari
bermaharajalela, tidak dapat dibayangkan bagaimana dengan kelompok yang
jauh dari pegangan dan pendidikan agama. Soalnya, jika menutup pusat
tahfiz yang haram dari beroperasi, adalah ia menyelesaikan masalah?
Bagaimana dengan kes seumpama ini yang berlaku di sekolah-sekolah
kerajaan, sekolah swasta dan lain-lain yang mempunyai lesen sah? Apakah
langkah yang boleh diambil bagi menghalang kejadian ini berlaku?
Kerajaan sepatutnya memikirkan langkah
lebih jauh dalam mencegah jenayah seksual dari berlaku di mana-mana.
Kewujudan kelab malam yang berleluasa di tengah bandaraya, penganjuran
konsert-konsert dan aktiviti hiburan, pusat pelacuran, rumah-rumah urut,
program hiburan di televisyen, akses internet yang mudah tanpa sekatan,
pergaulan bebas antara lelaki dan peempuan adalah punca utama kejadian
seksual berlaku.
Bagaimana jika kerajaan bertindak tegas
dalam mengharamkan kesemua pusat hiburan, konsert-konsert serta menyekat
rumah-rumah urut dan pelacuran terlebih dahulu sebelum mengambil
tindakan tegas ke atas pusat-pusat tahfiz. Ia jauh lebih berkesan dalam
mengawal gejala sosial dalam masyarakat.
Sebaiknya Khalid Samad melihat kes ini
dengan cermat dan tidak melulu mahu menghukum kesemua tahfiz. Sepatutnya
proses pendaftaran pusat tahfiz dipermudahkan, justeru mana-mana
institusi tahfiz yang tidak berdaftar diusahakan agar dibantu untuk
pendaftarannya.
Selainnya adalah pemantauan berterusan
dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihak Jabatan Mufti
dan lain-lain agar kesinambungan pusat tahfiz. Soal keselamatan,
kebajikan, kebersihan, modul dan silibus, gaji dan elaun kakitangan
serta lain-lainnya perlu menjadi perhatian agar institusi tahfiz dibela
sebaik mungkin, bahkan dijadikan pusat pembelajaran yang istimewa.
Apa yang diharapkan adalah kerajaan
mampu memberi penyelesaian terbaik, dengan menguntungkan umat Islam dan
masyarakat keseluruhannya. Jadikan kes yang berlaku sebagai rujukan,
agar insititusi tahfiz terus diperkemas, dikembangkan dan dinaik taraf
supaya ianya terus sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.
Masyarakat umumnya masih meyakini,
pendidikan agama terutama tahfiz melalui insititusi tahfiz mampu
menyelamatkan akhlak dan moral generasi muda dalam mendepani kehidupan
pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY
* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.
BADAN Perhubungan PAS
Negeri Johor (BPPNJ) memandang serius terhadap isu yang telah
menyebabkan Sultan Johor menjadi murka akibat daripada tindakan seorang
Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan
bahasa Melayu dalam surat rasminya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni
Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa sebarang urusan rasmi sama ada
membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di
Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.
Baginda juga menjelaskan bahawa selama
ini tidak pernah surat rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Johor
atau mana-mana PBT ditulis dalam dua bahasa.
Difahamkan bahawa surat jemputan majlis
perbincangan mengenai infrastruktur jalan raya bertarikh 12 September
lalu itu beredar sejak hari Isnin yang lalu.
Walaupun Exco Kerajaan Tempatan, Sains
dan Teknologi Negeri Johor, YB Tan Hong Pin dan Anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Perling YB Cheo Yee How telah menjelaskan bahawa Ahli
Majlis MBIP Chan Wei Khan tidak berniat untuk memperlekeh bahasa Melayu
namun tindakan tersebut dilihat sebenarnya akan mencetuskan perbalahan
di dalam masyarakat.
BPPNJ berpandangan bahawa Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor mestilah meletakkan keutamaan terhadap
penggunaan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam
urusan rasmi.
Tiada sebab dan alasan untuk penggunaan
bahasa yang lain seandainya rakyat di negeri Johor memahami dan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka.
BPPNJ juga mengingatkan agar semua pihak
menghormati titah yang telah disampaikan oleh baginda Sultan Johor dan
jangan membawa perkara ini ke kancah politik kerana titah baginda adalah
untuk kesejahteraan semua rakyat Johor.
Islam Memimpin.HARAKAHDAILY
* USTAZ ABDULLAH HUSIN , Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
Menguasai bahasa Kebangsaan bukan soal perkauman, malahan tidak perlu
lagi ditimbulkan isu berkenaan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH),
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malahan, beliau turut menggesa Ahli Parlimen menguasai bahasa Melayu
dan menjaga mutu tutur bahasa yang digunakan dalam perbahasan mereka di
Dewan Rakyat.
Katanya, tidak salah untuk setiap Ahli Parlimen menguasai bahasa
asing lain seperti bahasa Inggeris tetapi jangan meremehkan bahasa
Kebangsaan.
“Lihat saja ahli Parlimen berbangsa Cina dalam kalangan parti DAP,
mereka sudah menguasai dengan baik bahasa Melayu, malah petah ketika
berbicara dan berbahas di Parlimen mengatasi Ahli Parlimen dalam
kalangan orang Melayu.
“Kebimbangan mengenai kedudukan bahasa Melayu ini tidak sepatutnya
dibangkitkan lagi kerana kini ramai generasi baru dalam kalangan orang
Cina, India, Iban dan Kadazan yang pintar menguasai bahasa Kebangsaan.
“Lebih 20 tahun saya bersama dengan masyarakat pelbagai kaum dan
orang Cina secara umum menerima bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan,” katanya pada Syarahan Negarawan di Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, langkah utama bagi menggilap
penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan Ahli Parlimen adalah dengan
memberikan kursus bahasa Melayu di DBP.
Katanya, usaha memartabat bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Kebangsaan perlu dikembalikan semula kepada DBP.
“DBP kena menjadi markas memartabatkan bahasa Kebangsaan selaras dengan cabaran dan perkembangan dunia baharu.
“Dalam mengekalkan akar budaya, bahasa, sastera dan peradaban Melayu,
DBP kena mengembangkannya kepada seluruh masyarakat Malaysia, Cina,
India, Iban dan Kadazan supaya menjadi ia menjadi milik seluruh rakyat
Malaysia,” katanya.
Beliau turut meminta Dr Maszlee memantau kecenderungan universiti
tempatan mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Kebangsaan.
“Saya diberitahu ada universiti yang mengendalikan mesyuarat Senat dalam bahasa Inggeris. Ini saya tidak boleh terima,” katanya.