ULASAN | Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang berat isu hutang terkumpul Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang hampir mencecah RM40 bilion.
AMANAH ingin menggesa Kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan perubahan struktur ataupun “structural reform” dalam PTPTN bagi menjamin kebajikan pendidikan generasi akan datang.
Hutang PTPTN adalah salah satu komponen terbesar hutang kontinjen ataupun hutang yang dijamin oleh kerajaan Malaysia. Setakat 31 Disember 2017, hutang PTPTN mewakili sekitar 15-17 peratus hutang kontinjen negara.
Berdasarkan laporan The Edge, hutang PTPTN telah mencanak naik melebihi 200 peratus dalam tempoh satu dekad lalu, daripada RM11 bilion pada tahun 2008 sehingga hampir RM40 bilion ketika ini.
Kegagalan PTPTN menjana hasil yang mencukupi untuk membayar hutangnya akan memaksa kerajaan mengambil alih tanggungjawab melangsaikan hutang berkenaan.
Ini bermaksud, hutang kerajaan persekutuan berpotensi melebihi amaun RM1.09 trilion yang telah ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu.
Tanggungjawab peminjam, kerajaan
Justeru, adalah penting untuk semua peminjam PTPTN yang berkemampuan membayar kembali hutang pendidikan mereka untuk menjamin kelangsungan operasi PTPTN.
Pada masa yang sama, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan untuk menjaga kebajikan peminjam dan mengotakan janjinya untuk membenarkan pembayaran balik selepas gaji peminjam mencecah RM4,000 sebulan.
Pemuda AMANAH ingin menggesa agar pembayaran ansuran PTPTN menerusi potongan gaji bulanan dilakukan secara wajib untuk semua peminjam yang bergaji atas RM4,000 dan tidak tergolong dalam kalangan pinjaman yang telah dijadualkan atau distruktur semula.
Mana-mana peminjam yang mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar amaun yang telah ditetapkan boleh memohon untuk membayar amaun yang lebih rendah, sekitar 5 - 8 peratus daripada gaji bulanan, menerusi kaedah penstrukturan semula pinjaman PTPTN.
Kaedah penstrukturan semula ini telah lama dilaksanakan oleh PTPTN sebelum ini.
Automotik dalam cukai pendapatan
Bagi yang mempunyai perniagaan sendiri, maklumat pinjaman PTPTN mereka boleh dihubungkan atau “linked up” dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Sekiranya ada antara mereka yang ingkar membayar semula pinjaman, ansuran bulanan yang tertangguh boleh disertakan secara automatik dalam pembayaran cukai pendapatan tahunan.
Pemuda AMANAH juga mencadangkan agar pembayaran balik hutang PTPTN dilakukan mengikut tangga gaji, berbanding membayar suatu amaun yang tetap sepanjang tempoh pembayaran.
Misalnya, peminjam akan membayar ansuran yang lebih rendah ketika gajinya sekitar RM4,000 - RM5,000 dan amaun ini akan meningkat apabila gajinya melepasi RM5,000.
Model ini telah diguna pakai di Australia dan terbukti berkesan di sana.
Kelangsungan PTPTN tidak hanya bergantung terhadap pembayaran balik hutang oleh para peminjam. Walaupun semua peminjam membayar ansuran bulanan tanpa gagal, PTPTN masih akan mengalami defisit dari aspek aliran tunai.
Pemuda AMANAH difahamkan PTPTN meminjam dari pasaran atau bank-bank komersial pada kadar 3 peratus hingga 5 peratus ataupun lebih. Walaubagaimanapun, PTPTN hanya memberi pinjaman pada kadar 1 peratus bawah sistem Ujrah.
Ini bermaksud kerajaan, menerusi PTPTN, telah memberikan subsidi secara signifikan kepada para peminjam.
Model ini membolehkan para penuntut menerima akses pengajian tinggi pada kos yang rendah dan konsep ini seharusnya diteruskan untuk mengurangkan beban peminjam.
Namun, model ini memberikan tekanan kewangan terhadap operasi PTPTN dalam jangka panjang.Justeru, Pemuda AMANAH ingin mencadangkan agar PTPTN diberikan fungsi menjana pendapatannya sendiri menerusi usaha niaga komersial.
Dengan menjalankan perniagaan atau pelaburannya yang tersendiri, PTPTN boleh menjana dana yang mencukupi untuk menanggung hutang yang telah diterima daripada pasaran atau institusi kewangan.
PTPTN patut kurang bergantung geran kerajaan
Selain itu, PTPTN juga boleh mengurangkan kebergantungan terhadap geran kerajaan. Misalnya, sumbangan geran kerajaan kepada PTPTN telah melonjak mendadak daripada RM915 juta pada tahun 2011 kepada RM1.72 bilion pada tahun 2015.
Dengan adanya keupayaan menjana pendapatannya sendiri, beban terhadap kerajaan dapat dikurangkan dengan signifikan.
Pengerusi PTPTN, saudara Wan Saiful Wan Jan telah memaklumkan bahawa kabinet akan menerima deraf kaedah pembayaran pinjaman PTPTN yang baharu dalam masa dua minggu akan datang.
Diharapkan agar pandangan daripada segenap pihak dapat dipertimbangkan sebelum dasar yang baharu diperkenalkan.
Paling penting, janji Pakatan Harapan kepada anak muda untuk menangguhkan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000 ke atas mesti ditunaikan.
FAIZ FADZIL ialah Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, merangkap ADUN Permatang Pasir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan