HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 September 2018

BNM diminta nilai semula garis panduan pinjaman rumah

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF06022017_BANGUNANMENARA21-1-681x454
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meminta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menilai semula garis panduan pinjaman yang ketat bagi pembeli rumah.

Ini kerana cabaran bagi pemilikan kediaman bukan sahaja terhad dalam bekalan rumah kos sederhana dan rendah sahaja tetapi pembiayaan yang ketat dan keperluan deposit yang tinggi.

Disebabkan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembelian rumah jenis itu masih rendah meskipun permintaannya tinggi.

“Walaupun, data rasmi memaklumkan hanya 20 hingga 30 peratus pemohon gagal dalam permohonan untuk membeli rumah pada 2017 tetapi anggaran tidak rasmi mencadangkan angka itu mungkin lebih tinggi antara 60 hingga 70 peratus.

“Bagi pembeli rumah murah, mereka mungkin tidak mempunyai dokumentasi untuk membuat permohonan dan tidak termasuk dalam data rasmi ini.

“Oleh itu, kerajaan dan swasta perlu menggunakan pendekatan kreatif untuk mengatasi halangan ini, tanpa menambah beban kepada pembeli rumah pertama,” katanya pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah.

Katanya, meskipun kerajaan mengambil berat dengan peningkatan hutang isi rumah tetapi bukan semua hutang itu adalah tidak baik.

Hutang yang disokong oleh hak harga rumah yang layak menjadikan hutang rumah mampan, ujarnya.

Guan Eng berkata, pendapatan rakyat Malaysia telah meningkat dan menghampiri kenaikan harga kediaman secara amnya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Nasional (NAPIC), Indeks Harga Rumah naik 6.5 peratus pada 2017, menurun daripada 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara pendapatan median Malaysia berkembang lebih cepat pada 8.0 peratus tahun ke tahun daripada harga rumah pada 2017.

Harga hartanah kediaman sudah dapat dicapai untuk ramai rakyat Malaysia, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Cuma tahap pendapatan rakyat Malaysia perlu berkembang lebih pantas. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: