Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini menolak penjelasan exco Johor dan anggota dewan undangan negeri DAP berhubung isu surat rasmi dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris oleh seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Presidennya, Dr Salleh Rahamad berkata, tidak wujud keperluan untuk menggunakan bahasa Cina sebagai terjemahan salinan surat asal kerana kesemua ahli majlis adalah rakyat Malaysia dan sewajibnya memahami bahasa kebangsaan.
"Sekarang ini surat ditujukan kepada ahli-ahli majlis, jadi tidak timbul keperluan untuk mengadakan terjemahan (salinan) kerana ahli majlis semuanya rakyat malaysia," katanya.
Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor Tang Hong Pin mempertahankan tindakan ahli MBIP itu dengan berkata bahawa surat dalam bahasa Cina itu bertujuan memberi kefahaman kepada penduduk yang tidak fasih bahasa Melayu.
Bagaimanapun, Salleh menganggap tindakan tersebut umpama cubaan menyamaratakan bahasa lain dengan bahasa kebangsaan.
"Tidak boleh diterima (penjelasan), itu sekadar untuk dia nak menyelamatkan diri setelah diserang.
"Itu sahaja sedangkan dia tahu perkara itu salah tetapi dia buat juga," tambah Salleh lagi.
Terdahulu, tindakan Ahli MBIP Chan Wei Khjan menggunakan tulisan Cina bersama bahasa Inggeris dalam surat rasminya dikritik beberapa pihak.
ADUN DAP Cheo Yee How kemudian tampil menjelaskan bahawa surat asal mengenai pemakluman itu menggunakan bahasa Melayu dan surat yang tular terbabit hanyalah surat lampiran yang disebarkan untuk menjemput penduduk bukan Melayu.
Hal itu juga turut mendapat perhatian Sutan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan beberapa badan politik yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan