HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2018

AHMAD DICALONKAN PRM CABAR ANWAR


Wartawan Watan-Online



Parti Rakyat Malaysia (PRM) mencalonkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Kapar, Ahmad Kamarudin untuk mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Ia pencalonan kedua Ahmad oleh PRM selepas namanya juga diumumkan pada PRK DUN Sungai Kandis, namun menarik diri pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon.

Pengerusi Jawatankuasa PRK Parlimen Port Dickson PRM, Koh Swe Yong mengumumkan pencalonan Ahmad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Ditanya sama ada ‘gimik’ sama bakal berulang, Ahmad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu dengan yakin memberitahu beliau komited untuk menentang Anwar yang merupakan bekas ketuanya semasa di dalam PKR.

Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)bertanding menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Beliau bagaimanapun hanya menerima 116 undi.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya mengingatkan PKR supaya tidak memperlekehkan kewibawaan PRM walaupun parti itu tidak lama aktif dalam arena politik tempatan.

Ahli biasa PRM itu menganggap tiga calon Bebas yang merancang bertanding di Port Dickson bukan ancaman, termasuk PAS, mahu berdepan PKR satu lawan satu bagi mempersoalkan ideologi rakyat dan ‘panji panji’ merah dan perkataan ‘rakyat’ yang ‘diseludup’ PKR.

“Ingat wahai Anwar, jangan memperlekeh kami (PRM), warna merah yang merupakan panji panji kami adalah milik PRM dan begitu juga perkataan rakyat yang digunakan PKR sehingga kini.

“Kami masih aktif dan berdepan kamu untuk menuntut hak panji panji kami semula dan tidak gentar berdepan Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: