HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2018

Komponen PH perlu bersatu demi Malaysia Baharu – Kit Siang


Oleh


Empat parti komponen Pakatan Harapan perlu menyelesaikan perbezaan, konflik dan percanggahan antara mereka bagi memastikan matlamat “Malaysia Baharu” dapat dicapai dan tidak diganggu-gugat musuh, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang. 

Menurut beliau, ia harus ditangani dalam kerangka pemikiran yang positif bagi memastikan PH dapat meneruskan agenda memperbaiki semula dasar pembinaan Malaysia dan menjadikan ia sebuah negara ulung bertaraf antarabangsa. 

“Kita tidak harus mengabaikan dan tidak mengambil kira perbezaan, konflik dan percangahan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dan dalam parti itu sendiri, kerana keempat-empat parti politik yang membentuk Pakatan Harapan mempunyai sejarahnya yang berbeza dan matlamat politik yang berlainan. 

“Namun kita harus bersatu dalam satu usaha yang bersepadu dan sama untuk Menyelamatkan Malaysia daripada trajektori negara gagal, demokrasi penyangak, kakistokrasi dan kleptokrasi global,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Kata Kit Siang, jika penyelesaian dapat dicapai antara keempat-empat parti PH, maka segala serangan cybertrooper dan strategis Umno-BN tidak akan berkesan.

“Dalam konteks berkenaan, walaupun apa jua helah dan muslihat strategis dan cybertrooper Umno-BN, saya tidak menjangkakan sebarang masalah terhadap rancangan Pakatan Harapan untuk melantik masing-masing Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh dan kelapan,” katanya. 

Setakat ini, katanya lagi, usaha pembangkang untuk memecahbelahkan parti kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menemui jalan buntu ekoran terpaksa menghadapi perpecahan dalam parti mereka sendiri.




“Umno nampak terlebih dahulu retak apabila lima ahli Parlimenya keluar parti, disusuli dua lagi bekas menteri kanan Umno, menjadikan Umno kini mempunyai 49 ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” ujarnya. 

Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak keluar Umno minggu lalu.

Mustapa berkata beliau keluar Umno kerana menganggap hala tuju parti itu kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

“Dan (hala tuju parti) tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya.

Malah pemimpin Umno Kelantan itu menegaskan Umno seharusnya menjadi parti yang “inklusif, moderat dan berhaluan tengah” tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.” – Roketkini.com


Tiada ulasan: