HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 September 2018

1MDB: Proses ambil keterangan Rosmah masih berjalan

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Proses mengambil keterangan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Bhd dipercayai masih berjalan selepas lebih tiga jam beliau tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Rosmah, berbaju kurung bercorak bunga dan bertudung hijau, tiba dengan kereta Proton Perdana warna hitam pada 9.50 pagi tadi tetapi masih belum keluar dari perkarangan bangunan berkenaan setakat 1 tengah hari ini.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui Bernama mengesahkan Rosmah masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes itu.

Semalam, pegawai SPRM ke rumah Rosmah di Taman Duta, Jalan Langgak Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk dipanggil ambil keterangan kes itu.

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.—Bernama

Tiada ulasan: