HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2018

Hanipa mahu lebih ramai rakyat menjadi ‘wira tidak didendang’



Hanipa mahu lebih ramai rakyat menjadi ‘wira tidak didendang’

Mohd Yusof Rohani (kanan) tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka apa yang dilakukannya selama ini mendapat perhatian seorang pemimpin.

Ahli Parlimen Sepang Mohamad Hanipa Maidin mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi ‘wira tidak didendang’ dalam urusan kebajikan dan kemanusiaan di negara ini.

“Saya berkesempatan meluangkan masa menziarahi “wira yang tak didendang” Encik Mohd Yusof Rohani di rumah beliau di Teluk Intan, Perak.

“Hati saya tersentuh di atas penat lelah dan keperihatinan serta sifat perikemanusiaan beliau membantu rakan bukan muslim yang mana dalam keadaan berkerusi roda kerana menghidap sakit kencing manis.

“Wira yang tak didendang ini telah membantu rakannya sejak 18 tahun lalu, dan ini membuatkan beliau begitu istimewa di mata saya,” ujar Hanipa di laman facebooknya.




Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Mohd Yusof Rohani seorang ‘boilerman’ di sebuah kilang kelapa sawit di Langkap, Perak yang telah mengorbankan tenaga dan wang ringgit untuk membantu rakannya Orang Kurang Upaya (OKU) R.Doraisamy yang kehilangan penglihatan disebabkan menghidapi diabetis sejak 16 tahun lalu.

Mohd Yusof,48, adalah penerima Anugerah Star Golden Award Gamuda pada 2016 sebuah anugerah yang diberikan untuk meraikan rakyat Malaysia yang jujur dan menjadi wira kepada masyarakatnya, selain menjalinkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di negara ini.



Mohamad Hanipa Maidin bersama ahli keluarga Mohd Yusof Rohani di rumahnya di Teluk Intan.

Hanipa yang juga Ahli Jawatakuasa Tertinggi AMANAH berkata, kisah yang pernah dilaporkan oleh akhbar The Star pada 2016 itu, telah menarik perhatiannya dan pernah dikongsi bersama di ruangan Facebook nya sebelum ini sebelum beliau berkesempatan mengunjungi Mohd Yusof.

“Saya sangat berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengikut jejak langkah beliau iaitu amal kebajikan dan kemanusian. Usaha beliau perlu diangkat dan menjadi ikutan ramai.

“Saya percaya serta yakin dalam kehidupan kita, banyak cara untuk kita hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Dan En Yusof telah menunjukan satu contoh tauladan yang mulia.

“Tahniah En Yusof anda sememangnya wira tak didendang di hati saya.” ujar timbalan menteri undang-undang ini.

Lihat video: Di sini

Tiada ulasan: