HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 September 2018

AHLI PARLIMEN PERLU KUASAI BAHASA MELAYU



Menguasai bahasa Kebangsaan bukan soal perkauman, malahan tidak perlu lagi ditimbulkan isu berkenaan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malahan, beliau turut menggesa Ahli Parlimen menguasai bahasa Melayu dan menjaga mutu tutur bahasa yang digunakan dalam perbahasan mereka di Dewan Rakyat.

Katanya, tidak salah untuk setiap Ahli Parlimen menguasai bahasa asing lain seperti bahasa Inggeris tetapi jangan meremehkan bahasa Kebangsaan.

“Lihat saja ahli Parlimen berbangsa Cina dalam kalangan parti DAP, mereka sudah menguasai dengan baik bahasa Melayu, malah petah ketika berbicara dan berbahas di Parlimen mengatasi Ahli Parlimen dalam kalangan orang Melayu.

“Kebimbangan mengenai kedudukan bahasa Melayu ini tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana kini ramai generasi baru dalam kalangan orang Cina, India, Iban dan Kadazan yang pintar menguasai bahasa Kebangsaan.

“Lebih 20 tahun saya bersama dengan masyarakat pelbagai kaum dan orang Cina secara umum menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya pada Syarahan Negarawan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, langkah utama bagi menggilap penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan Ahli Parlimen adalah dengan memberikan kursus bahasa Melayu di DBP.

Katanya, usaha memartabat bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Kebangsaan perlu dikembalikan semula kepada DBP.

“DBP kena menjadi markas memartabatkan bahasa Kebangsaan selaras dengan cabaran dan perkembangan dunia baharu.

“Dalam mengekalkan akar budaya, bahasa, sastera dan peradaban Melayu, DBP kena mengembangkannya kepada seluruh masyarakat Malaysia, Cina, India, Iban dan Kadazan supaya menjadi ia menjadi milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut meminta Dr Maszlee memantau kecenderungan universiti tempatan mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Kebangsaan.

“Saya diberitahu ada universiti yang mengendalikan mesyuarat Senat dalam bahasa Inggeris. Ini saya tidak boleh terima,” katanya.


Tiada ulasan: