HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 September 2018

Sokong usaha naikkan had minimum perkahwinan kepada 18 tahun

THE MALAYSIAN TIMES
 


CYBERJAYA: Usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun perlu disokong bagi melindungi hak kanak-kanak di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya hujah bagi mengelakkan remaja terlibat dengan zina tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membenarkan perkahwinan bawah umur apatah lagi untuk menurunkan had umur tersebut kepada 14 tahun.

“Pendirian saya adalah jelas iaitu had usia minimum perkahwinan sepatutnya18 tahun. Mengikut undang-undang pun, 18 tahun adalah umur kematangan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang mencadangkan had usia minimum perkahwinan bagi remaja perempuan dan lelaki diturunkan masing-masing kepada 14 dan 16 tahun.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kertas kerja bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.– Bernama


Tiada ulasan: