HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2018

TETAP BERSAMA UMNO MESKIPUN KE PENJARA – AZEEZ

Wartawan Watan-Online
 
 


Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan penahannya sebagai sebuah harga yang perlu dibayar demi perjuangan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Baling itu berkata, beliau mungkin tidak akan berbaju lokap dan bergari sekiranya meninggalkan UMNO minggu lepas.

Abdul Azeez berkata, meskipun ‘ditekan’, beliau sama sekali tidak akan berganjak daripada perjuangannya dan tidak akan meninggalkan UMNO meskipun terpaksa ke penjara.

“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan. Jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini.

“Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini,” kata Abdul Azeez di perkarangan mahkamah pada Rabu.

Kata-kata itu dimuatnaik di Facebook oleh pentadbir media sosial Ahli Parlimen Baling itu pada Khamis.

Abdul Azeez menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan

Beliau, abangnya dan sepupu ditahan reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Putarjaya. Ketiga-tiga mereka tiba pada pukul 10.30 pagi Rabu, dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes rasuah termasuk projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Tiada ulasan: