MALAYSIAKINI
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata walaupun mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, semua anggota dan pemimpin parti itu tidak seharusnya berputus asa.
"Umno perlu cari jalan bagaimana untuk kembalikan keyakinan rakyat. Masih ramai percaya kepada perjuangan Umno.
"Jadi seharusnya sebagai pemimpin dan anggota parti, kita teruskan perjuangan yang dilakukan selama ini dan beri perkhidmatan terbaik khususnya di kawasan dimenangi termasuk di Pahang," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama rakyat dan pemimpin Maran di Dewan Umno, Pekan Tajau di Maran hari ini, sempena lawatan kerjanya ke daerah tersebut semalam.
Majlis turut dihadiri ketua Umno bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri serta beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (Exco).
Turut menjadi tumpuan kehadiran dua wakil rakyat PAS, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil dan ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak.
Mengulas mengenai perkara itu Wan Rosdy berkata Umno Pahang sentiasa bersedia bekerjasama dengan pemimpin PAS di negeri ini, dalam sebarang bentuk yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kerjasama ini subjektif, kehadiran mereka pada majlis saya pun sudah dikira satu kerjasama, begitu juga jika kita hadir pada kenduri mereka.
"Sekiranya sesuatu usaha dilakukan itu memberi kebaikan kepada rakyat, kita akan bantulah (bekerjasama) dan mereka pun begitu juga," katanya.
Beliau berkata wakil rakyat PAS di Pahang banyak memberi pandangan bernas yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua bulan lepas, dan bukannya menjadi pembangkang yang membantah membuta tuli.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan