HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2018

Jomo: Malaysia perlu promosi pelaburan baru dan pengeluaran

Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami 
tekanan hebat disebabkan perubahan dasar monetari antarabangsa
terutama dengan aliran keluar dana ke AS apabila negara itu 
meningkatkan kadar faedah.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil langkah proaktif mempromosikan bidang pelaburan baru dan pengeluaran di tengah-tengah peningkatan konflik perdagangan global, daripada hanya menandatangani perjanjian perdagangan yang tidak memberikan kelebihan kepada negara, kata pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Jelasnya, ekonomi global sudah memasuki tempoh ketegangan perdagangan yang berlarutan disebabkan tumpuan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terhadap konflik 2 hala.

“Seperti yang diketahui, hanya sedikit pertumbuhan perdagangan dalam tempoh sedekad. Adalah penting untuk mengenal pasti apabila terdapat masalah perdagangan, lain kerajaan, lain cara tindakannya dan terdapat kecenderungan untuk lebih mengutamakan masalah itu sendiri,“ kata Jomo.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang pengumuman “Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2018: Tenaga, Platform dan Angan-Angan Perdagangan Bebas oleh persidangan mengenai Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference on Trade and Development’s (UNCTAD) “Trade and Development Report 2018: Power, Platforms and the Free Trade Delusion”) di sini, semalam.

Menurut laporan berkenaan, ekonomi dunia kekal berada di asas yang goyah sedekad selepas krisis kewangan 2008, dengan perang perdagangan menjadi gejala penyakit yang semakin mendalam.

Walaupun ekonomi global mula membuat peningkatan sejak awal 2017, pertumbuhan berterusan tidak tetap dengan banyak negara beroperasi di bawah potensi mereka, kata laporan itu dan menambah, bahawa tahun ini tidak mungkin menyaksikan perubahan kelajuan.

Laporan itu menyatakan, sebarang peningkatan serius ketegangan perdagangan, iaitu melalui ketidaktentuan yang memuncak dan pengurangan pelaburan, akan membawa kesan lebih merosakkan dalam jangka sederhana dan akan menjadi lebih serius terhadap negara yang sedia menghadapi masalah kewangan.

Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami tekanan hebat disebabkan perubahan dasar monetari antarabangsa, terutama dengan aliran keluar dana ke AS apabila ia meningkatkan kadar faedah.

Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah sebanyak 2 kali tahun ini dan berkemungkinan akan melakukan buat kali ketiga sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan pada 25-26 September.

“Pasaran baru muncul akan menjadi lebih terdedah kepada krisis kewangan, terutama dalam bidang yang mana harga aset melebihi nilai asas seperti hartanah melebihi nilai asas yang dibiayai oleh hutang.

“Justeru, pihak berkuasa perlu berhemah dan mungkin mengambil tindakan tidak popular dengan mengurangkan kelemahan kita terhadap krisis sedemikian,” kata Jomo.

Beliau menekankan perlunya untuk berhemah bagi mengelakkan potensi ke arah kemelesetan.

“Terjadinya krisis kewangan, berkemungkinan daripada punca-punca luar, akan lebih besar. Apabila kita bertindak melulu dalam menguruskan ekonomi, kita akan lebih terdedah,” jelasnya.

Jomo juga menyatakan akan perlunya Malaysia berfikir secara menyeluruh dan membentuk dasar yang bersesuaian dalam mengambil manfaat daripada ekonomi digital.

“Kita fikir bahawa kita sudah membuat sesuatu yang bijak dengan memberikan data berharga secara percuma sebagai pertukaran kepada perkhidmatan diberikan pihak yang memonopoli digital besar. Data ini digunakan untuk meningkatkan keuntungan pemain-pemain utama.

“Kita seharusnya belajar daripada sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah terhadap Google dan bagaimana ia mungkin relevan kepada ekonomi seperti Malaysia,” tambahnya.

Tiada ulasan: