HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 September 2018

7 kes baru keracunan alkohol dilaporkan - KP

MALAYSIAKINI

   
Sebanyak tujuh kes baharu keracunan alkohol dilaporkan di fasiliti-fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, masing-masing enam di Kuala Lumpur dan satu di Perak sehingga tengah semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini sebanyak 76 kes melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Perak direkodkan sejak 15 Sept.

"Jumlah kematian adalah sebanyak 29 kes iaitu 18 kes di Selangor, sembilan kes di Kuala Lumpur dan dua kes di negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dalam pada itu, 29 kes kematian dicatatkan melibatkan keracunan metanol membabitkan warga Myanmar (12), Malaysia (9), Nepal (6), Bangladesh dan tidak diketahui status kewarganegaraan (masing-masing satu).

Pada masa yang sama, katanya, 47 kes keracunan metanol yang tidak melibatkan kematian dicatatkan membabitkan warga Nepal (21), Myanmar (10), Bangladesh (lapan), Malaysia (tujuh) dan Indonesia (satu).

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

"Setakat ini, sebanyak 262 premis yang menjual arak telah diperiksa dengan 780 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah disita,” katanya.

Beliau berkata Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol perlu segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.

Sementara itu, polis menahan dua lelaki serta seorang wanita warga tempatan dan merampas 311 tin arak pelbagai jenama yang tidak bercukai dalam serbuan di kawasan penempatan warga asing dan premis-premis sekitar bandar raya Johor Bharu, petang kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Bahru pada jam 6 petang itu dilakukan berikutan insiden keracunan alkohol yang sehingga kini mengakibatkan 29 mangsa terkorban termasuk sembilan warga tempatan.

Menerusi satu kenyataan malam tadi, operasi serbuan tertumpu di kawasan penempatan warga asing yang mempunyai perniagaan minuman berakohol dan tidak bercukai serta premis yang sering dikunjungi mereka dan dipercayai ada menjual bahan yang diragui ketulenannya dan tidak berlesen.

"Kesemua rampasan arak sebanyak 142.90 liter itu dibawa ke Pejabat Kastam Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.

"Kita juga akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pihak Kastam Diraja Malaysia terutama dalam menangani isu liquor atau arak tidak bercukai berleluasa di negeri ini," katanya.

Menurut Mohd Khalil berkata kesemua suspek berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan rampasan atau penjara tidak melebihi selama tiga tahun atau kedua-duanya.
- Bernama

Tiada ulasan: