HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 September 2018

Kit Siang dakwa had umur pengundi 18 tahun hasil perjuangannya

Manzaidi Mohd Amin

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kelulusan Kabinet menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun adalah hasil perjuangannya sejak 1970-an.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan Kabinet Rabu lalu selepas dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya berasa begitu puas setelah mendapati apa yang saya perjuangkan sejak 1970-an di Parlimen, iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun telah menjadi kenyataan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

“Selepas Kabinet selesai bermesyuarat dua hari lalu, Syed Saddiq mengumumkan Kabinet telah bersetuju untuk menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang, ia memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan kemudiannya diluluskan oleh majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Saya menggesa semua parti pembangkang yang mempunyai wakil di Parlimen menyatakan sokongan mereka kepada pindaan tersebut,” katanya.

Jelasnya, pada tahun pertama di Parlimen kira-kira 47 tahun lalu, beliau mencadangkan tiga pembaharuan pilihan raya iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, mendaftar pengundi yang layak mengundi secara automatik dan mewajibkan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk mengundi.

“Sejak saya mengutarakan cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun pada 1971, kebanyakan negara lain telah menerapkan pembaharuan pilihan raya tersebut, namun Malaysia agak ketinggalan dalam pembaharuan demokrasi, Parlimen dan pilihan raya.

“Kini, Malaysia menempa perubahan besar untuk membina sebuah Malaysia Baharu hasil daripada keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei lalu,” katanya.

Malaysia hari ini, katanya, telah menjadi sebahagian daripada beberapa negara yang melaksanakan pembaharuan pilihan raya dengan menurunkan had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: