HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 September 2018

Tak ada tanda PAS nak cabar Anwar di PD

 
   

PRK PORT DICKSON | Laluan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat dijangka semakin mudah dan terbuka luas apabila PAS membayangkan mereka juga tidak akan meletakkan calon di Port Dickson bulan depan.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau yakin keputusan awal dibuat pimpinan parti itu baru-baru ini masih terpakai.

"Saya yakin (tak bertanding) sebab kan pimpinan PAS dah bagitahu hari tu... maknanya makluman itu berjalanlah (terpakai)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Che Abdullah juga berkata setakat ini tiada arahan dikeluarkan pimpinan di peringkat pusat untuk negeri-negeri termasuk di Negeri Sembilan untuk membantu atau menggerakkan jentera pilihan raya.

Anggota Parlimen Tumpat itu berkata kebiasaanya jika parti itu memutuskan untuk bertanding dalam mana-mana pilinan raya kecik (PRK), jentera parti di seluruh negeri akan diminta bersiap sedia lebih awal.

"Tapi sekarang ni tak ada arahan atau sebarang persediaan dibuat untuk PRK berkenaan.
"Saya setiausaha perhubungan PAS negeri, jadi biasanya arahan turun pada setiausaha negeri dululah," katanya.

PRK Port Dickson perlu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah berundur bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding seterus menjadi anggota parlimen.

Umno selalu tiru PAS

Anwar sedang dipersiapkan menjadi perdana menteri kelapan negara ini menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad - satu ketetapan yang dipersetujui pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mengikut perlembagaan seseorang yang mahu dilantik menjadi perdana menteri - antara lain - mestilah seorang anggota Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan dan hari penamaan calon pada Sabtu ini.

BN sudah memutuskan untuk memboikot PRK berkenaan dan Presiden PAS pula menyatakan
mereka sedia meletakkan calon kerana enggan memberi kemenangan mudah kepada HARAPAN.




Setakat ini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan dua calon bebas menyatakan hasrat mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi itu.

Mengulas perkembangan itu Che Abdullah berkata pendirian BN itu menunjukkan parti terbabit meniru keputusan PAS.

"Ya, nampaknya Umno pun dah ikut PAS... Umno kan selalu ikut PAS," katanya sambil ketawa.



Ditanya jika PAS membuat mesyuarat berkaitan PRK dan memutuskan pendirian sebaliknya Che Abdullah berkata beliau tetap yakin parti itu tidak akan bertanding.

"Saya yakin (tak tanding) kecuali ada benda baru yang mengubah keputusan itu," katanya.

Untuk rekod pada 13 Sept lalu Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata PAS sedia turun padang berkempen jika Umno bertanding.

"Dengan ini PAS tak akan kemukakan calon sebab kita sudah beri laluan kepada Umno untuk mengemukakan calonnya bagi bertanding di kerusi berkenaan.

"Semalam (12 Sept) kita dah berbincang mengenai perkara itu dan kita dah buat keputusan untuk beri laluan kepada Umno, kita akan beri sokongan sebagaimana Umno beri sokongan kepada kita (di Seri Setia," kata Mahfodz.

Hari ini pula Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan parti itu akan membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya dalam masa terdekat.




Sementara itu Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki pula berkata pihaknya belum membuat penyelidikan berkaitan potensi parti itu jika bertanding di PRK berkenaan.

Ia kerana kata Zuhdi pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan.

"Saya tak ada analisis lagi, kita tak jangka kita akan bertanding sebelum ni sebab Umno kata nak tanding.

"Jadi apabila tak ada perancangan nak bertanding, kami pun tak buat analisis mendalam mengenai perkara tu," katanya.

Ditanya sama ada PAS perlu meletakkan calon, Mohd Zuhdi berkata: "Saya tak boleh bagi pandangan, takut mempengaruhi keputusan parti jadi kena tunggu mesyuarat parti.

"Apabila mesyuarat parti buat keputusan baru saya boleh bagi analisis.

"Tapi buat masa ni tak ada mesyuarat dipanggil, tapi mungkin sehari dua sebelum penamaan calon," katanya.


Tiada ulasan: