Notis
larangan mengambil warga asing sebagai pembantu atau pekerja oleh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur pada Majlis Sifar Peniaga Warga Asing di Pasar
Raja Bot, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
Pengarah
Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff bercakap
kepada media pada majlis Sifar Peniaga Warga Asing di Pasar Raja Bot,
Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR – Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan yang
didapati menggaji pembantu warga asing atau menyewa lesen demi
keuntungan goyang kaki akan dibatal lesen serta merta dan
disenaraihitamkan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melontar peringatan itu kepada lebih
60,000 peniaga dan penjaja kecil Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur ke arah program ‘Sifar Penjaja Warga Asing’ yang dilancarkan di
Pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit hari ini.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim
Yusoff berkata, pihaknya mensasarkan 5 hingga 10 peratus pengurangan
kebergantungan pekerja asing untuk 12 bulan akan datang ke arah program
Sifar Penjaja Warga Asing.
“Agak menyedihkan apabila tak silap saya lebih 60,000 peniaga dan
penjaja kecil ada di WPKL, tetapi sebahagian besarnya dikuasai warga
asing jelas tidak bermakna.
“Apatah lagi di Pasar Borong di ibu negara hanya 40,000 sahaja
merupakan peniaga warga tempatan dan selebihnya warga asing seolah
menjadikan suasana little Jakarta dan ini tidak boleh dibiarkan
berterusan.
“Manakala di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, sebanyak 1567 peniaga dan
penjaja kecil berniaga dan 22 orang diambil tindakan pembatalan lesen
dan 54 lagi diberi surat tunjuk sebab kenapa mengambil pekerja asing
bagi tujuan pembatalan lesen niaga,” katanya dalam sidang media selepas
perasmian di sini.
Turut hadir Yang DiPertua PPPKMWP, Datuk Mohammad Abdullah selaku
penganjur bersama kempen Sifar Penjaja Asing bersama DBKL, Imigresen dan
Kementerian Wilayah.
Ujarnya, Pasukan Petugas Khas bersama penguatkuasa Imigresen akan
membuat pemantauan secara menyamar dan memeriksa lesen bergambar jika
dikesan meletakkan warga asing sebagai pembantu dan akan diperluaskan ke
pasar borong Selayang dan Kuala Lumpur juga secara agresif.
Tambah beliau peniaga dan penjaja kecil-kecilan di Wilayah
Persekutuan mempunyai tanggungjawab utama dalam menjamin manfaat dan hak
kebajikan peniaga tempatan terpelihara dari didominasi peniaga asing.
Beliau mengharapkan PPPKMWP menasihati peniaga-peniag dan kira-kira
500,000 ahli di bawah naungan itu supaya terus mengambil serius membantu
kerajaan membanteras kebergantungan pekerja asing secara total.
Kelihatan
warga asing turut menjadi pembantu peniaga dan penjaja di Pasar Raja
Bot, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.foto AFIQ RAZALI
Katanya hasil pemantauan penguatkuasa dan pasukan petugas khasnya
mendapati sebahagian besar peniaga tempatan ‘goyang kaki menikmati
keuntungan di rumah dengan menyewakan lesen niaga kepada warga asing.
“Kita memulakan program ini julung kali dengan kerjasama Persatuan
Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP) di Chow Kit kerana ini tempat
ikonik tiga bangsa utama berniaga secara turun temurun sejak berdekad
lama tetapi digugat penjaja asing.
“Kita mahu memastikan segala manfaat pernigaan ini dinikmati bersama
anak generasi muda kita bukan warga asing, jika tidak dua tahun kemudian
kita akan jadi pembantu dia (warga asing)pula,” ujar beliau.
Tegas beliau mana mana peniaga tempatan yang didapati mengambil kerja
pekerja asing menguruskan perniagaannya akan dikenakan tindakan
pembatalan lesen, sitaan barang dan disenaraihitam.
Yang
Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah
Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah memberikan notis Sifar Peniaga Warga
Asing kepada peniaga dan penjaja di Pasar Raja Bot, Jalan Tuanku Abdul
Rahman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
“Kalau ikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai Wilayah
Persekutuan 2016, pengambilan pekerja asing sebagai pembantu tidak
dibenarkan sama sekali.
“Perniagaan kecil yang tidak membawa pulangan besar elak ambil
pekerja asing dan manfaatkan sesama ahli keluarga dan rakyat tempatan
sahaja.
“Jika berdegil terus menggaji tenaga asing, tindakan sita barang,
batal lesen dan senarai hitam nama akan menyusul segera mengikut
peraturan yang ditetapkan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Ketua PPPKMWP Cawangan Pasar Jalan Raja Bot, Shahrin
Darus yang juga Setiausaha Agung peringkat wilayah merayu DBKL supaya
kerajaan menyediakan alternatif menang menang menggantikan tenaga
pekerja asing.
Sambil menyifatkan pihaknya akur dengan segala peraturan dan
perundangan ke arah sifar penjaja warga asing, menyeru kerajaan mencari
penyelesaian tetap demi kelangsungan perniagaan mereka.
“Kami akan terus dokong tindakan sifar penjaja asing penguatkuasa
tetapi mereka diharap menyediakan satu penyelesaian tetap untuk
memudahkan urusan perniagaan harian kami ini,” tegasnya.-
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan