HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2018

RAKYAT BOLEH NILAI SIKAP PEMIMPIN KELUAR UMNO – BAHRI

Wartawan Watan-Online
 


Rakyat diminta menilai sendiri sikap pemimpin UMNO yang keluar parti ini selepas tidak lagi menjadi kerajaan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri mendakwa pemimpin seperti ini ‘berangan’ untuk mendapat jawatan dalam Pakatan Harapan (PH) selepas UMNO tidak lagi mampu memberi habuan yang mereka inginkan.

“Yang mahu pergi biarkan mereka pergi. Yang tinggal teruskanlah perjuangan. Saya yakin UMNO masih kuat. Saya anggap ini ujian dari Allah kepada UMNO.

“Kita bina semula kekuatan dan saya yakin UMNO mampu bangkit semula,” katanya kepada Watan Online pada Khamis.

Bahri berkata, pada suatu hari beliau yakin pemimpin UMNO yang keluar ketika parti ini jatuh akan menyesal dengan tindakan mereka itu.

“Saya juga yakin mereka akan kembali semula kepada UMNO. Saya juga yakin mereka ini tidak akan diterima dalam PH,” katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman telah meninggalkan UMNO.

Turut berbuat demikian ialah veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.


Tiada ulasan: