HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 September 2018

Syed Hamid Albar: “Saya kini sudah menjadi anggota Bersatu”

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan telah menghantar borang keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beliau keluar dari UMNO.

Syed Hamid yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu menghantar borang keanggotaannya kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Selepas menghantar borang keanggotaan tersebut, saya turut berjumpa dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Saya kini sudah menjadi anggota Bersatu, “ katanya dalam sidang media selepas program bersama Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan di sini semalam.

Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid Albar keluar UMNO dan menyatakan bahawa alasannya meninggalkan UMNO adalah kerana parti berkenaan sudah lari daripada perjuangan asal dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi pemimpin berbanding mengambil berat hal rakyat.

Mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil (PRK) di Port Dickson Syed Hamid berkata itu adalah keputusan yang wajar dilakukan.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bahawa UMNO masih belum bersedia dan tidak bermotivasi untuk bertanding di PRK Port Dickson.

“Saya fikir eloklah dia (UMNO) tidak bertanding…saya rasa mereka bukan boikot, boikot ini seolah kita tidak puas hati. PRK kalau mereka parti bukan kerajaan dan belum bersedia untuk bertanding, buang duit sahaja..tidak berbaloi kalau tidak bermotivasi dan tidak ada hala tuju,” kata Syed Hamid.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa BN akan memboikot PRK Port Dickson dimana mereka tidak akan meletakkan calon mewakili parti komponen tersebut.

Mengenai pencalonan Anwar di Port Dickson sebagai usaha menjadi Perdana Menteri kelapan, Syed Hamid berkata ia adalah hak Anwar untuk bertanding dan telah mendapat persetujuan parti komponen Pakatan Harapan.

Sementara itu, Syed Hamid yang juga Penasihat Eksekutif ASEAN Rohingnya Centre berkata pihaknya mencadangkan kerajaan agar melaksanakan satu dasar yang khusus terhadap pelarian Rohingya di Malaysia.

Pihaknya turut menubuhkan sebuah badan Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan untuk melihat permasalahan pelarian khususnya Rohingnya secara lebih mendalam tahun ini.

“Ia adalah sejajar dengan hasrat Pakatan Harapan untuk menyokong ‘Meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951’ bagi membantu pelarian Rohingnya di Malaysia khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan latihan vokasional serta pekerjaan,” katanya

Syed Hamid berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh kalangan individu yang terlibat secara langsung dalam isu kemanusiaan khususnya krisis yang melanda kaum Rohingnya.

Tiada ulasan: