Kebenaran agama akan tetap dapat ditonjolkan dengan banyak cara termasuk melalui dialog antara agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof.
Katanya dialog antara agama boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya menggunakan pendekatan yang selalu diambil Dr Zakir Naik.
Bercakap kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini Mujahid berkata pendirian serta pandangan beliau kepada pendakwah dari India itu masih konsisten seperti sebelum ini walaupun ada pihak berpendapat sebaliknya.
"Ingin saya tegaskan bahawa kenyataan saya sama ada pada 2016 mahupun hari ini masih konsisten.
"Apa yang ingin saya jelaskan sekarang hanyalah cara perdebatan oleh pendakwah berkenaan," katanya.
Semalam Mujahid dilaporkan berkata ada kaedah yang dirasakan tidak sesuai untuk dijadikan pendekatan dakwah di negara ini.
Antara lain kata anggota parlimen Parit Buntar itu ia dianggap begitu kerana dirasakan merendah-rendahkan agama selain Islam.
Tetap hormati Zakir
“Kalau tanya saya, saya kira cara penyampaian dakwah Zakir adalah tidak sesuai di Malaysia.
"Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain, tetapi kaedah penyampaian dakwah yang lebih intelek dan tenang tanpa merendahkan maruah agama lain,” katanya seperti dipetik FMT.
Kenyataan itu mengundang kecaman demi kecaman ke atas Mujahid, terutama daripada pemimpin PAS.
Sesetengah daripada mereka juga mengaitkan kenyataan Mujahid itu dengan pandangan yang pernah disuarakannya mengenai Zakir sebelum menjadi menteri dulu.
Kata Mujahid beliau tetap menghormati Zakir sebagai seorang pendakwah selain juga meraikan amalan perdebatan yang sihat.
"Cara perdebatan yang dimaksudkan (tidak boleh diterima) bukan saja memfokuskan kepada cara yang disampaikan Zakir, tetapi mencakupi semua pihak.
"Dalam erti kata lain, mana-mana pihak yang menyerang doktrin atau dogma sesuatu agama tidak boleh diterima," katanya.
Menjelaskan lagi kenyataan itu Mujahid berkata Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama.
Justeru katanya amat penting untuk semua pihak - terutama dalam konteks kerajaan - memastikan keharmonian serta perpaduan yang terjalin sejak dari dulu lagi dikekalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan