HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 September 2018

Hati-hati dengan golongan super liberal – Anwar Ibrahim

MALAYSIA GAZETTE
Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tentang kewujudan golongan yang disifatkan sebagai 'super liberal' di negara ini, yang lantang menyuarakan pandangan dan mendesak ia dipenuhi.

KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tentang kewujudan golongan yang disifatkan sebagai ‘super liberal’ di negara ini, yang lantang menyuarakan pandangan dan mendesak ia dipenuhi.

Tanpa merujuk secara spesifik kepada mana-mana pihak, Anwar berkata golongan super liberal ini kerap mengeluarkan permintaan dan menuntut ia dituruti selain mengecam pandangan pihak lain yang bertentangan dengan mereka.

“Bila kita (golongan selain super liberal) tegur mereka ini, kita pula diserang seolah-olah negara ini dia punya. Saya jawab (kepada mereka), kita ini wakil majoriti dalam negara ini dan kita bangkit menyatakan bahawa dalam negara ini kita juga berhak untuk menyuarakan pandangan.

“Mereka fikir pandangan mereka mesti kita ikut. Kalau saya sentuh sikit mengenai Islam dan Melayu langsung dipertikai. Saya mahu memberitahu kepada mereka, kita tidak mahu ‘kezaliman majoriti’, kita juga menolak ‘kekejaman minoriti’,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada program Syarahan Negarawan 2018, di sini hari ini.

Katanya golongan tersebut juga baru-baru ini ada menyuarakan pandangan yang mengkritik langkah beliau untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Dalam syarahannya bertajuk ‘Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa’, Anwar juga menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa rasmi kebangsaan dan komited untuk memartabatkan kedudukannya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan itu tidaklah bermaksud bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Mandarin dipinggir, sebaliknya perlu dikuasai sebagai bahasa kedua.

“Tidak boleh meremehkan bahasa kebangsaan, itu prinsip yang utama yang saya yakin Insya-Allah kerajaan baharu, Pakatan Harapan akan tetap pertahankan,” tegasnya.

Dalam sesi soal jawab selepas program itu, Anwar menegaskan bahawa perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dirungkai oleh mana-mana pihak.

Menjawab soalan salah seorang peserta dalam program itu yang menyuarakan kebimbangannya terhadap perkara-perkara berkaitan orang Melayu dalam perlembagaan ketika era Malaysia baharu, Anwar menjelaskan keempat-empat pemimpin utama parti komponen PH telah bersetuju mengenai perkara itu sewaktu hendak membentuk kerajaan.

“Berkenaan raja-raja Melayu, ada kebimbangan sebab ada yang menegur, ada yang mengkritik, tetapi belum ada satu pun usaha dari PH untuk mempertikai institusi raja kerana kita telah berikrar, menandatangani perjanjian untuk mengekalkan institusi diraja dan Perlembagaan,” katanya.
— BERNAMA


Tiada ulasan: