HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2018

Haramkan terus pengunaan plastik pakai buang, kata aktivis pencinta alam

Banyak pengeluar produk biodegradasi di Malaysia terpaksa 
mengeksport produk mereka ke negara lain kerana tidak mendapat 
sambutan di negara ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengharamkan penggunaan beg plastik secara menyeluruh dan mengantikannya dengan produk biodegradasi (boleh urai) agar tidak terus mengancam hidupan laut selain ekosistem marin dan kesihatan manusia, kata aktivis pencinta alam.

Pengarah Eksekutif Pencinta Alam Malaysia I S Shanmugaraj Subramaniam berkata kerajaan perlu mengharamkan pengunaan plastik dan menggantikannya dengan produk biodegradasi.

“Penggunaan bungkusan plastik dan polisterin diharamkan oleh kerajaan tahun lepas, tetapi pengusaha makanan sekarang menggunakan pembungkus makanan plastik lut sinar.

“Keputusan kerajaan untuk menghentikan penggunaan plastik ‘single use’ atau plastik pakai buang menjelang 2030 adalah tidak wajar kerana masih menggalakkan masyarakat mengunakan plastik, bukannya mencari alternatif lain,” katanya kepada FMT.

Kerajaan dilaporkan akan melancarkan pelan hala tuju bagi menghentikan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030 pada bulan depan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Amal Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeoh Bee Yin berkata, hala tuju baru itu akan diumumkan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) di ibu negara.

Beliau berkata, langkah tersebut akan dibuat secara berperingkat menerusi beberapa fasa bermula tahun ini sehingga 2030.

Shanmugaraj berkata, terdapat banyak pengeluar produk biodegradasi di negara ini tetapi kurang mendapat sambutan daripada penjual berbanding di luar negara dan mereka terpaksa mengeksport produk tersebut ke negara lain kerana mendapat permintaan tinggi.

“Dahulu pembungkusan makanan menggunakan ‘teknologi’ lama seperti daun dan kertas, bukannya plastik. Jika Malaysia mahu mengunakan bahan boleh diurai seperti dahulu, ia tidak bermakna kita ketinggalan.

“Dengan menggunakan teknologi seperti itu, kita dapat melindungi alam sekitar daripada terus dimusnahkan demi kelangsungan hidup manusia pada masa hadapan,” kata beliau.

Katanya lagi, sebagai contoh banyak kuil Hindu menggunakan pinggan biodegradasi yang diperbuat daripada daun pisang yang dikeringkan. Ia boleh dibuang tanpa mencemar alam sekitar ataupun dijadikan makanan haiwan seperti lembu selepas digunakan.

Tiada ulasan: